Kerajaan negeri Selangor diingatkan agar tidak mengambil sikap sambil lewa terhadap titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu tanah rizab Melayu dipertahankan.
Ketua Pembangkang Selangor , Datuk Mohd. Satim Diman berkata, ingatan tersebut diberikan memandangkan ranah rizab Melayu di negeri ini merupakan khazanah untuk kepentingan orang Melayu yang tidak boleh sewenang-wenangkan dipindah atau dijual kepada mana-mana pihak yang tidak mewakili kepentingan kaum itu.
“Usaha untuk memelihara, melindungi serta mempertahankan tanah rizab Melayu adalah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas titah Sutan Selangor sempena majlis pembukaan sidang DUN Selangor bagi penggal ke-12 hari ini yang menegaskan tidak mahu mana-mana pihak termasuk kerajaan negeri memindahkan mana-mana tanah rizab Melayu kepada individu atau syarikat bukan Melayu di negeri ini.
Menurut baginda, tanah rizab Melayu perlu dipertahankan memandangkan ianya merupakan khazanah serta amanah untuk kepentingan generasi akan datang di negeri ini manakala apa jua perkara atau keputusan melibatkan tanah rizab Melayu harus mematuhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang telah ditetapkan.
Pada masa yang sama, beliau menyifatkan titah baginda mengenai perkara itu menunjukkan bahawa Sultan Selangor sebenarnya sentiasa memandang berat mengenai perkembangan pentadbiran di negeri ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Serdang itu berkata, pihaknya melihat titah Sultan Selangor itu turut sebagai 'luar biasa' memandangkan baginda sendiri memberi penekanan penuh dalam usaha memelihara dan mempertahankan tanah rizab Melayu di negeri ini.

Sementara itu, pandangan yang sama turut diberikan oleh ADUN Kuang, Abdul Shukor Idrus yang turut mahu kerajaan negeri memberikan maklum balas mengenai kedudukan semasa tanah rizab Melayu di negeri ini.
Maklum balas itu katanya harus melibatkan juga tanah-tanah lain termasuk kawasan hutan simpan seperti Taman Botani Negara Shah Alam (TBNSA) yang difahamkan bahawa kerajaan negeri bercadang menjual sebahagian tanah TBNSA seluas 40 hektar untuk menampung kos operasi pengambilalihan pengurusan TBNSA daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
No comments:
Post a Comment