Umno yang terlalu dominan di Selangor akan menyaksikan Barisan
Nasional (BN) kehilangan Selangor kerana undi bukan Melayu akan lari kepada
Pakatan Rakyat (PR), kata Dr Khir Toyo.
Bekas Menteri Besar Selangor itu berkata masalah Selangor adalah
parti komponen BN tidak 'bersatu' – MCA, MIC, dan Gerakan gagal memainkan
peranan menarik pengundi baru dan tidak memberikan Umno peluang sebaliknya
mengukuhkan kedudukan sendiri sebagai persiapan menghadapi pilihan raya akan
datang.
“Apabila UMNO menjadi dominan, mereka akan mengetepikan penyokong
bukan Melayu. Itu merupakan salah satu masalah yang menjadi penyebab kepada
kaum Cina yang tidak mengundi BN.
“Sekarang, berkemungkinan kita akan hilang Selangor jika keadaan
ini berterusan dan kemenangan semestinya susah buat kita kerana sasaran kita
adalah untuk mendapatkan pengundi muda,” katanya dalam temubual eksklusif
bersama wartawan The Malaysian Insider [TMI].
Penggal Adun Sungai Panjang ini tamat apabila BN tewas kepada PR
sewaktu pilihan raya 2008. PR memenangi 36 daripada 56 kerusi negeri yang mana
Tan Sri Khalid Ibrahim menggantikan Khir sebagai Menteri Besar.
Khir (gambar) menegaskan “hampir” keadaan demografi pengundi
antara Melayu dan bukan Melayu menjadikan negeri itu sukar ditawan BN kerana
hanya pengundi Melayu bersama BN.
“Mampukah BN menawan Selangor? Kita kembali kepada peratusan
pengundi, 52 peratus kalau tak silap saya adalah bukan Melayu.
“Masalahnya di sini adalah sesetengah kerusi yang kita (Umno)
menang pada 2008 adalah di bawah 500 pengundi, tapi Umno rasakan semua kerusi
adalah boleh dimenangi kerana mereka hanya mendapat reaksi daripada Melayu,”
katanya.
Menurut Khir sementara Umno mendekati komuniti Melayu di Selangor
dan mendapat respon positif, parti komponen seperti MCA dan MIC perlu melakukan
perkara sama.
“Kita perlu dapatkan laporan daripada bukan Melayu ... Umno
sudahpun melaksanakannya, parti komponen harus lakukan perkara yang sama, untuk
Cina dan India.
“Perkara pokok di sini adalah jika Umno terlalu dominan, perkara
itu menjadikan bukan Melayu tidak selesa. Mereka kemudiannya akan mengundi
untuk PR walaupun PR tidak melaksanakan apa-apa,” tambahnya.
Jalan penyelesaiannya menurut Khir adalah BN perlu “memperkukuh”
MCA, MIC, dan Gerakan dengan membenarkan mereka mengumumkan projek-projek untuk
komuniti mereka selain pengumuman di buat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Razak.
Pemimpin Umno itu menjelaskan komuniti bukan Melayu telah hilang
“hormat” kepada pemimpin parti komponen BN kerana mereka dilihat tidak mampu
untuk membantu komuniti mereka sendiri.
“Itu sebabnya sekarang kita perlu berikan lebih kuasa kepada MCA
dan MIC. Pastikan presiden parti mereka mengumumkan peruntukan untuk sekolah,
untuk komuniti mereka. Sekiranya kita hanya mengharapkan perdana menteri dan
timbalannya, Umno akan dilihat terlalu dominan, dan masyarakat Cina akan hilang
kepercayaan terhadap pemimpin mereka.
“Itu masalahnya sekarang, saya sering ingatkan sekarang kita perlu
tingkatkan peluang kepada parti lain untuk membuat keputusan mereka dan berikan
mereka peruntukan,” tegasnya.
Khir turut memuji pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad ketika era
pemerintahan beliau sebagai Perdana Menteri, dan oleh sebab itu pemimpin
seperti Datuk Seri S Samy Vellu dan Tun Dr Ling Liong Sik dihormati.
“Kekuatan Umno sahaja tidak akan mampu untuk memperoleh undi bukan
Melayu seperti mana dilakukan untuk Melayu. BN Selangor harus bertindak seperti
BN, bukan Umno. Kita sekarang berada di peringkat akhir sebelum Pilihanraya.
“Sebab itu Samy Vellu seperti raja untuk bangsanya, kerana beliau
mengumumkan peruntukan, bukan Dr Mahathir. Suatu ketika dahulu, pemimpin parti
komponen begitu dihormati dan sangat kuat kerana mereka turun padang dan
memberikan pelbagai benda ... menteri sekarang tiada faktor ‘umph’. Cuba lihat
(Datuk Seri) Liow (Tiong Lai) dan (Datuk Seri) Kong Cho Ha.”
Menurut Khir, masih belum terlambat untuk melaksanakan perkara
itu, namun perubahan harus dibuat dengan segera bagi membolehkan bukan Melayu
menyokong BN.
“PR tidak menunaikan janji Pilihanraya mereka walaupun mereka kata
mempunyai simpanan tunai yang banyak.
“Saya sangat risau akan Selangor,” katanya.
Namun begitu, semalam Najib menjelaskan BN sudah bersedia untuk
menang Pilihanraya akan datang termasuk menawan kembali Selangor, dan sokongan
rakyat amat menggalakkan.
Menurut beliau rakyat sering memberitahunya BN telah kembali
memperolehi sokongan rakyat sejak pilihan raya 2008.
Perdana Menteri itu menjelaskan BN harus menawan semula Selangor,
negeri yang kaya dengan sumber alam semulajadi dan industri “walau apa pun yang
berlaku.”
No comments:
Post a Comment