Majlis Belia Selangor (MBS) yang mewakilli semua persatuan belia
di negeri Selangor kesal dan kecewa dengan tindakan Kerajaan Negeri Selangor di
bawah syarikat milik Menteri Besar Selangor (Perbadanan) iaitu MSNS HOLDINGS
SDN BHD yang mengenakan kadar sewa yang begitu tinggi kepada MBS untuk menyewa
dan menjalankan aktiviti di Kompleks Belia.
Timbalan Presidennya, Badrul Hisham Badrudin berkata, Bangunan
Kompleks Belia di Seksyen 7 Shah Alam ini telah dibina pada tahun 2001 oleh
Kerajaan Negeri ketika itu. Bangunan serta dewan besar Raja Muda Musa telah terbina atas dasar
keperihatinan, pengiktirafan dan wawasan pemerintahan kerajaan negeri akan
peranan persatuan-persatuan belia di dalam negeri Selangor.
”Menjunjung Merapat sembah, sukacita kami maklumkan, penaung kami
ialah DYTM Raja Muda Selangor Darul Ehsan, Tengku Amir Shah Ibni Sultan
Sharafuddin Idris Shah yang mahu melihat aktiviti belia di negeri ini
digerakkan secara aktif dengan terbinannya kompleks ini.
MBS telah menghuni bangunan kompleks ini dari awal tahun 2001
sehinggalah sekarang. Sebelum tahun 2008, MBS beroperasi di lantai empat dan
lima tanpa dikenakan sebarang bayaran sewaan. Akan tetapi setelah kepimpinan
kerajaan negeri beralih kuasa, untuk pertama kalinya pihak pengurusan bangunan
yang di bawah penyeliaan Setiausaha Kerajaan Negeri telah mula mengenakan
sewaan kepada kami dengan kadar RM1,977 sebulan termasuk elektrik dan air pada
Januari 2011 untuk searas tingkat,“ ujarnya kepada pemberita, petang tadi.
Tambahnya, tanpa belas kasihan, pihak pengurusan seakan memekakkan
telinga menolak rayuan MBS agar tidak dikenakan sewa bulanan. MBS juga terpaksa
merelakan dan melepaskan penggunaan tingkat aras 4 kerana tidak mampu membayar
sewa yang dikenakan dan hanya beroperasi di aras 5 sahaja.
“Sekali lagi kami dikejutkan apabila syarikat pengurusan sekali
lagi pada awal 2012 telah menaikkan sewa kepada RM5,280 + RM900 (penggunaan
elektrik, air dan sinking fund) dan deposit sebanyak RM10,560 (sewa 2 bulan)
yang ditetapkan. MBS adalah persatuan belia, bukan syarikat perniagaan.
Daripada mana kami hendak mendapatkan sewa sedangkan kami sendiri tidak
mempunyai sumber kewangan yang tetap.
Seperti sudah jatuh ditimpa tangga, kami teraniaya. Slogan
Selangor Negeri Kebajikan dan perutusan “Tabung Warisan Anak Selangor” atau
TAWAS oleh Menteri Besar Selangor, “Saya dan jentera pentadbiran Kerajaan
Negeri Selangor terus berusaha mengutamakan kebajikan dan kualiti hidup rakyat
Negeri Selangor tanpa mengira keturunan, bangsa, agama mahupun dukungan
politik”, hanyalah retorik untuk meraih sokongan rakyat,” ujarnya yang juga
Pengerusi Belia 4B negeri Selangor
MBS terus dianak tirikan oleh kerajaan negeri. Perkara ini
sepatutnya tidak berlaku. Persoalannya sekarang mengapakah Kerajaan Negeri
masih menutup telinga dan tidak mendengar permasalahan MBS malah sudah terlalu
banyak permohonan pengurangan berkenaan sewaan kami ajukan kepada pihak pengurusan
tetapi tidak diendahkan.
Sejak dari tahun 2008, kerajaan negeri tidak pernah satu sen pun
menghulurkan bantuan kewangan kepada MBS mahupun kepada persatuan-persatuan
belia di bawah payung MBS.
“Mengapakah peruntukan kewangan hanya diagihkan kepada pengerak
belia tempatan (PeBT), Rakan Muda PBT dan Generasi Idaman Selangor (GeMS)? Di
manakan ketulusan dan keikhlasan kerajaan negeri memegang amanah yang suatu
masa dahulu melaungkan, “Mewujudkan kerajaan beramanah, adil, bersih dan
berkebajikan”?
Jika kerajaan negeri betul-betul serius mahu melestarikan
persatuan-persatuan belia dan belia di Selangor khususnya, mereka tidak akan
mengenakan kos sewa yang tinggi kepada MBS untuk menyewa di bangunan ini dan
menggunakan prasarana yang dibina untuk kemudahan belia di negeri ini. Justeru
kami mendesak kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Khalid
Ibrahim untuk mempertimbangkan semua kadar sewa tersebut. Atau tukar sahaja
nama kompleks ini kepada kompleks perniagaan jika kerajaan negeri benar-benar
mahu memikirkan keuntungan daripada memikirkan aktiviti belia di negeri ini
digerakkan,” tambahnya lagi.
No comments:
Post a Comment