Tuesday, 14 January 2014

Nalla Cabar Anwar Untuk Teruskan Saman Fitnah



Bekas rakan karib Anwar, Datuk S. Nallakaruppan semalam menggesa agar kes saman fitnah yang dikemukakan terhadapnya dapat diteruskan dengan segera. Menurut ahli dewan negara itu, kes saman fitnah yang dikemukakan oleh Ketua Pembangkang perlu disegerakan dan tidak ditangguhkan lagi.

Nala di dalam satu sidang media yang diadakan sebelum ini berkata, sepanjang persahabatan mereka selama 30 tahun banyak rahsia Anwar yang cukup diketahuinya termasuk yang berbentuk peribadi.

"Mahkamah adalah landasan terbaik untuk saya mendedahkan segala perilaku dan rahsia Anwar. Sebab itu dalam perkara ini, saya tidak mahu bertindak terburu-buru. Nalla berkata beliau hairan mengapa Pakatan Rakyat melantik Anwar  untuk menjadi pemimpin pembangkang. Beliau juga menggesa pemimpin PAS, Datuk Nik Aziz, untuk mengeluarkan fatwa untuk membenarkan biseksual untuk menjadi pemimpin islam

"Anwar Ibrahim adalah seorang biseksual, Orang menganggap beliau adalah seorang Muslim yang baik, tetapi saya tidak. Saya mencabar beliau (untuk kemukakan saman), jika dia adalah orang yang di pihak benar. "

"Dia boleh menipu orang ramai, tetapi hakikatnya ialah beliau mahu merosakkan negara. Saya akan mendedahkan di mahkamah. Saya mencabar Anwar mengenai perkara ini," katanya. 

Ekoran kenyataan itu, pada 26 Mac 2012, Anwar selaku plaintif telah mengemukakan saman fitnah terhadap Nalla dan Utusan Melayu (M) Bhd. berhubung petikan ringkas yang disiarkan oleh akhbar itu pada 20 Mac 2012.

Menurut Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP) itu juga, beliau tidak gentar dengan saman Anwar itu dan akan bersedia dengan pelbagai bukti.

Saya tunggu, biarkan beliau heret saya ke mahkamah dan saya tak akan lari. Saya akan bawa bukti, sudah 30 tahun saya berkawan dengannya," katanya dalam sidang akhbar semalam.

Dalam pada itu beliau menyatakan rasa hairan dengan tindakan Anwar yang kebelakangan ini mengambil tindakan menarik balik atau menyelesaikan saman fitnah mengikut terma-terma tertentu melibatkan beberapa individu.

Paling menarik apabila banyak pihak sebelum ini mengatakan saman fitnah Anwar ini hanyalah merupakan gimik dan sandiwara murah untuk menarik simpati rakyat. Mereka juga turut melahirkan keyakinan bahawa ia akan ditarik balik di saat-saat akhir.

Malah apabila diteliti semua tindakan yang dilakukan sebelum ini, ternyata ia menepati seperti yang diramalkan itu. Contohnya kes saman fitnah Anwar terhadap tokoh akademik, Dr. Chandra Muzaffar yang berjumlah RM10 juta sebelum ini telah ditarik balik dan direkodkan untuk penyelesaian di luar mahkamah.

Begitu juga dengan dua saman fitnah yang difailkan olehnya sebelum ini terhadap Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin dan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin turut diselesaikan di luar mahkamah.

Persoalannya apakah Anwar berani untuk meneruskan saman terhadap Nalla ini atau ia juga akan ditarik kembali pada saat-saat akhir. Bak kata pepatah ‘Berani Kerana Benar, Takut Kerana Salah’.


Pemecatan Azmin : Tidak Layak Atau Wujud Konspirasi Terancang


Laporan penyingkiran Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali sebagai ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menjadi antara topik hangat yang diperkatakan ketika ini. Ada yang mengatakan keretakan hubungan antara Azmin dengan Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim adalah merupakan punca kepada pemecatan itu.

Malah tidak kurang juga yang mengatakan, ia adalah merupakan antara usaha Khalid untuk memastikan pengaruh politik Azmin dapat dikurangkan. Azmin ketika dihubungi bagi mendapatkan kepastian berhubung perkara itu, mengesahkan telah pun menerima surat mengenainya.

Walau bagaimanapun dia enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu, sebaliknya menyatakan akan membuat pengumuman mengenainya pada mesyuarat lembaga pengarah PKNS yang akan dipengerusikan oleh Khalid, 20 Januari ini.

Polemik perebutan kuasa antara Azmin dan Khalid bukanlah perkara yang asing khususnya di kalangan penyokong kedua-dua belah pihak. Malah Azmin sebelum ini dilaporkan sering mengkritik pentadbiran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melibatkan beberapa isu tertentu.

Kali terakhir Azmin mengkritik pentadbiran Abdul Khalid ialah pada 28 November lalu apabila beliau menyelar keputusan kerajaan negeri menaikkan gaji dan elaun anggota pentadbiran Selangor antara 80 hingga 373 peratus berkuat kuasa Januari 2014, selain menganggapnya itu terlalu tinggi dan perlu ditangguhkan.

Malah, sebelum itu, Azmin yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Negeri Selangor dilaporkan bertindak melalui kelab itu mengemukakan memorandum kepada Abdul Khalid ekoran tidak berpuas hati dengan pengurangan peruntukan pembangunan oleh kerajaan negeri pada 7 Oktober lalu.

Bagaimanapun, difahamkan pergeseran antara Azmin dan Abdul Khalid telah bermula sejak 2010 lagi apabila Timbalan Presiden PKR itu mengambil alih jawatan Pengerusi PKR Selangor daripada Abdul Khalid.

Di kalangan penyokong Azmin, mereka merasakan Menteri Besar Selangor itu dilihat sebagai lemah dan tidak layak untuk menerajui kerajaan negeri. Manakala di pihak Khalid pula, mereka melihat Azmin sebagai pengacau kerana cuba memonopoli kepimpinan PKR.

Mungkin disebabkan faktor itu juga, Khalid baru-baru ini ada membayangkan akan turut bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden parti itu dalam pemilihan PKR Mei ini. Sekiranya tiada calon lain yang berminat untuk menawarkan diri, pertandingan itu bakal menjadi medan penentu bagi mengukur kekuatan antara mereka. 
Walaupun ada yang mengatakan Azmin tidak akan berdepan dengan sebarang masalah untuk kekal sebagai Timbalan Presiden, namun faktor sokongan Wan Azizah tidak boleh dipandang ringan. Ini kerana Wan Azizah juga mempunyai ramai penyokong setia yang jelas tidak berkenan dengan watak dan peribadi Azmin.

Malah ketika PKR berdepan dengan kemelut untuk melantik Menteri Besar Selangor, ‘suara’ Azizah ternyata berjaya untuk menyingkirkan Azmin. Walaupun menurut sumber, Anwar sebelum ini telah bersetuju dan berjanji untuk melantik ‘anak emasnya’ itu bagi menggantikan Khalid.

Persoalannya apakah pemecatan ini disebabkan Azmin memang tidak layak atau sememangnya wujud campur tangan pihak tertentu untuk menyingkirkannya?


Kalimah Allah: Bila Akan DiAmbil Tindakan Ke Atas Mereka Yang Menghina Mahkamah?

Oktober lalu, Mahkamah Rayuan membuat keputusan melarang penerbitan majalah mingguan Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam seksyen bahasa Melayu penerbitan itu selepas merumuskan penggunaan kalimah ‘Allah’ bukan sebahagian daripada kepercayaan dan amalan agama Kristian. 

Bagaimanapun, Pengarang majalah Herald-The Catholic Weekly, Paderi Lawrence Andrew kemudiannya secara biadab telah membuat kenyataan bahawa gereja Katolik di Selangor akan terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguannya.

Kenyataan Andrew bukan sahaja menghina keputusan Mahkamah Rayuan, malahan turut bercanggah dengan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 14 Disember lalu.

Sultan Sharafuddin antara lain menegaskan, semua rakyat, khasnya di Selangor, tanpa mengira kaum dan latar belakang, perlu akur dan patuh terhadap larangan penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh bukan Islam seperti yang tertakluk mengikut peruntukan Seksyen 9, Bahagian 1, Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988.

Hari ini, kemelut kalimah ‘Allah’ menjadi semakin rumit apabila Bible Society Malaysia (BSM) pula bertindak membelakangkan mahkamah dan menderhaka titah Sultan dengan terus mengedar Bible Melayu dengan nama ‘Allah’ di dalamnya.  Akibatnya, premis BSM telah diserbu oleh JAIS dan bible tersebut dirampas. 

Kejadian ini digunakan sepenuhnya oleh pihak Kristian untuk menimbulkan gambaran buruk terhadap JAIS, Islam dan juga kerajaan walaupun apa yang berlaku ialah pihak mereka yang sebenarnya melanggar undang-undang. 

Setiap negara ada undang-undang dan setiap rakyat wajib akur kepada undang-undang.  Undang-undang dibuat bagi memastikan keadaan berada dalam keadaan terkawal, selain menegakkan keadilan.  Apabila ada pihak yang dengan sengaja melanggar dan tidak menghormati undang-undang maka keadaan akan menjadi huru-hara dan negara mampu menjadi tidak stabil. 

Manusia yang bertamadun tidak punya masalah untuk patuh kepada undang-undang biarpun kadangkala mereka merasakan yang ia tidak menepati citarasanya.  Dalam negara demokrasi, biarpun semua golongan punya hak masing-masing, namun kehendak majoriti wajib diutamakan.  Ini adalah keadilan mengikut sistem demokrasi. 

Apa yang pelik ialah pihak yang begitu lantang memperjuangkan demokrasi di Malaysia enggan menerima hakikat ini, iaitu kehendak majoriti adalah lebih utama dari minoriti.  Pada hari ini, mereka ini berjuang bermati-matian untuk membela tindakan 9% penganut Kristian mencabar undang-undang negara serta kehendak majoriti rakyat.  Hujah mereka, mereka hanya memperjuangkan kebebasan beragama atas nama demokrasi. 

Namun hipokrasi mereka terserlah apabila dalam mereka berhujah bahawa nama Tuhan bukan satu isu besar kerana semua agama merujuk kepada Tuhan yang sama, mereka berdegil ingin menggunakan nama ‘Allah’ juga bagi Injil berbahasa Melayu.  Kenapa tidak digunakan saja nama lain jika bagi mereka ia bukan satu isu?

Jelas, pihak pembela Kristian ini tidak faham bahawa dalam sistem demokrasi, kebebasan dan hak sesiapa jua tidak harus mengatasi undang-undang.   Apatah lagi apabila undang-undang itu ternyata tidak pernah menimbulkan masalah, dan terbukti menjadi kunci keamanan dan kestabilan negara.   

Tidak cukup dengan mencabar majoriti dan membelakangkan undang-undang, mereka mencerca pula pihak yang menang di mahkamah.  Kemudian, mereka mempermainkan pula pihak berkuasa serta ‘memijak-mijak’ kepala DYMM Sultan seolah-olah Institusi DiRaja dan semua institusi penguatkuasaan di Malaysia tidak bermakna. 

Bagaikan manusia ‘barbarian’ mereka memakai undang-undang rimba iaitu sekadar mengikut ‘kepala otak’ sendiri.    

Sekiranya manusia tidak bertamadun ini tidak dikawal, kita khuatir yang negara mungkin akan huru-hara. Justeru, kita mendesak agar tindakan diambil segera ke atas mereka yang menghina mahmakah. 

Kes Kalimah Allah telah pun diputuskan di mahkamah dan adalah di bawah bidangkuasa hakim untuk menghukum mereka yang melanggar keputusannya.  Mengikut undang-undang yang kita ada sekarang, seseorang itu boleh dikenakan hukuman (penjara atau denda) jika sabit kesalahan 'menghina mahkamah' (contempt of court) apabila ia mempunyai kecenderungan (tendency) untuk campur tangan, menggugat atau mengganggu proses pentadbiran keadilan (interfere with the administration of justice).

Dalam kes ini, pihak Kristian, terutama Paderi Lawrence Andrew dan BSM telah secara jelas dan sengaja, mencabar dan melanggar keputusan mahkamah. 

Oleh itu, melihat dari kekusutan yang telah mereka cetuskan, adalah tidak wajar sekiranya tiada tindakan dikenakan ke atas mereka.  Kita bimbang jika mahkamah terus menerus melayan karenah pihak yang tidak bertamadun ini, maka integrasi mahkamah juga akan turut dipertikaikan. 

Kita tidak mahu Malaysia dilihat sebagai negara yang tidak bertamadun juga kerana tidak mampu menegakkan undang-undang dan mempertahankan keputusan mahkamah.  Kita juga tidak rela titah Sultan diperlekeh oleh warganegara Malaysia sendiri tanpa apa-apa tindakan dikenakan terhadap mereka. 

Semakin lama perkara ini berlarutan semakin ternampak seolah-olah Malaysia berada dalam keadaan hilang kawalan. 


Akhirnya Gerakan ‘Dinasti Lim’ Berjaya Singkirkan Veteran DAP Johor


Seperti yang telah di duga, Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong tidak akan berdepan dengan sebarang masalah untuk menyingkirkan mantan Pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau. Dia telah dipilih oleh jawatankuasa DAP negeri Johor yang baharu sejurus selepas konvensyen tahunan parti itu yang ke-17 yang diadakan semalam.

Paling menarik, ramai pemerhati politik melihat kejayaan Chin Tong menewaskan Cheng Hau itu, sebagai 'kemenangan' Setiausaha Agung dan Penasihat DAP Lim Guan Eng serta Lim Kit Siang yang memang telah lama berhasrat ingin menyingkirkan pengaruh dan kuasa bekas Pengerusi DAP Johor itu.

Terdahulu, seramai 303 daripada 528 perwakilan yang hadir pada konvensyen parti itu, telah memilih 15 anggota jawatankuasa DAP Johor daripada 23 calon yang menawarkan diri. Pada pemilihan itu, Cheng Hau telah memperoleh 219 undi untuk berada di tempat ke-10 manakala Chin Tong hanya mampu berada di tempat ke-14 dengan 185 undi.

Persoalannya ialah, bagaimanakah mereka yang hanya mampu menduduki tempat ke-14 (hampir tersingkir) boleh terpilih sebagai Pengerusi Negeri yang baharu? Sedangkan kalau dikira mengikut undi majoriti (popular votes), Chin Tong jelas tidak layak untuk menerajui kepimpinan peringkat negeri.

Bukankah mereka sebelum ini begitu berbangga dengan teori undi popular yang dijadikan hujah kononnya secara majoriti rakyat telah memilih pembangkang dalam pilihanraya umum yang lalu?

Jadi mengapa pendekatan yang sama tidak diguna-pakai dalam sistem ‘pemerintahan’ DAP? Apakah ia bermaksud pendekatan ‘undi popular’ bukanlah kayu pengukur kepada lambang demokrasi seperti yang diwar-warkan sebelum ini?

Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Hamim Samuri ketika diminta mengulas perkembangan politik Johor ini menjelaskan pertandingan itu sebenarnya merupakan pertembungan antara dua kumpulan besar di dalam DAP Johor. Ini kerana ia melibatkan antara Cheng Hau sebagai veteran DAP dan kumpulan ‘Dinasti Lim’ yang diwakili oleh Chin Tong.

“Penyokong DAP ini buta, dah memang jelas parti itu tidak menampakkan sebarang ketelusan. Sebagai contoh yang mengundi di dalam pemilihan baru-baru ini pun hanya separuh dari perwakilan.

“Persoalannya mana pergi yang selebihnya. Malah sudah ada banyak rungutan kerana tidak dapat hadir untuk mengundi, kerana tidak mendapat sebarang surat jemputan dan sebagainya” katanya.

Hamim turut menjelaskan ia secara tidak langsung membuktikan bahawa parti itu sedang cuba mewujudkan satu pemerintahan ala Dinasti, di mana Kit Siang pada ketika ini sedang cuba untuk menguatkan pengaruh dan sokongan ahli parti itu terhadap anaknya.
Sudah enam Perdana Menteri Malaysia bertukar namun Kit Siang yang sudah berada dalam arena politik sejak zaman Perdana Menteri pertama masih tidak lagi sanggup melepaskan kuasa.

DAP selalu menyelar Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai seorang yang gila kuasa namun sudah satu dekad beliau bersara dalam politik apabila tidak lagi bertanding dalam pilihan raya sejak 2003 selain melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Namun Kit Siang masih lagi beria-ria bertanding dalam pemilihan DAP selain bertanding dalam pilihan raya umum serta masih memegang jawatan sebagai penasihat DAP.

Paling mengejutkan juga, mana-mana pemimpin yang dilihat tidak sehaluan atau mengkritik kepimpinan ‘Dinasti Lim’ akan segera disingkirkan atau dipecat. Sejak PRU13, DAP telah memecat seramai 38 ahli hanya kerana mereka tidak sehaluan dengan pemimpin tertentu dalam DAP.

Contohnya pemimpin DAP India dari Johor, Murugan A. Kaliappan dan Thulasi Das Visuvalingam telah dipecat hanya kerana mereka mengamalkan demokrasi yang diperjuangkan oleh DAP iaitu demokrasi demonstrasi.

Sikap hipokrit DAP ini amat jelas apabila mereka yang paling lantang menjerit tentang soal demonstrasi dalam demokrasi dan apabila pihak Kementerian Dalam Negeri menahan penyokong yang menyertai demokrasi maka BN akan dituduh sebagai anti demokrasi. Namun apabila pemimpin mereka sendiri melancarkan demonstrasi, mereka pula dipecat.

Kesimpulannya DAP adalah sebuah parti yang mengamalkan nepotisme, kronisme, rasisme dan anti demokrasi.


Friday, 4 October 2013

Sekretariat Bebas Muflis Bela Golongan Muflis


Mereka yang muflis akibat menjadi penjamin sosial, masalah teknikal dan tertipu mendapat jaminan lisan daripada menteri berkaitan bahawa masalah mereka akan diselesaikan.

Pengerusi Sekretariat Bebas Muflis, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, jaminan lisan itu diperoleh ketika sekretariat mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri dan Ketua Pengarah Insolvensi, Rohana Abd. Malek baru-baru ini.

Baca seterusnya di sini.