Timbalan Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional Malaysia
(BNBBC), Datuk Bung Mokhtar Radin kesal dengan tindakan dan sikap beberapa Pertubuhan
Bukan Kerajaan (NGO) serta pemimpin pembangkang yang berselindung di sebalik
NGO menyalahgunaan lobi Dewan Rakyat untuk mengadakan sidang media untuk apa
tujuan sekalipun sedangkan ruang tersebut dikhususkan kepada mana-mana Menteri,
Ahli Parlimen dari BN mahupun dari pakatan pembangkang untuk mengadakan sidang media.
“Sebenarnya ini bukan perkara baru, dulu pun pernah berlaku kekecohan
di mana ada NGO membuat sidang media di lobi dan ruang sidang media Parlimen,
bertelagah dengan BNBBC. Masalahnya, sehingga hari ini masih wujud kejadian
sebegini, di mana ada pemimpin pembangkang bersama-sama NGO daripada luar, kita
pun tak tahu NGO dari mana membuat sidang media.
Seharusnya ruang tersebut untuk ahli-ahli Parlimen dan para
menteri untuk membuat sidang media. Jadi ini pada saya merupakan satu
pelanggaran susila peraturan Dewan Rakyat ini,” ujarnya mengulas dengan
tindakan pihak-pihak tertentu yang sewenang-wenangnya menggunakan ruang sidang media
Parlimen sehinggakan menyusahkan para menteri dan ahli parlimen mengadakan sidang
media mereka.
Sehubungan dengan itu, beliau menggesa Speaker Dewan Rakyat
meneliti perkara ini seterusnya mengambil tindakan yang sewajarnya termasuk
menghalang mana-mana individu atau NGO menggunakan lobi Dewan Rakyat untuk
mengadakan sidang media.
“Sidang media yang bermacam-amacam, memaki hamun kerajaan, membuat
fitnah dan sebagainya. Seharusnya mereka carilah lokasi lain yang sesuai, tidak
perlu menggunakan Dewan Rakyat untuk membuat sidang media mereka yang tidak
membawa apa-apa faedahnya kepada rakyat.
Saya sebagai Timbalan Pengerusi BNBBC memang tidak bersetuju
dengan amalan-amalan yang tidak bersopan ini dilakukan oleh pihak-pihak
tertentu untuk merosakkan imej Dewan Rakyat itu sendiri. Saya juga akan membawa
isu ini dalam hujah saya minggu depan agar Dewan Rakyat mengambil tindakan dan
pendekatan yang sewajarnya untuk memberhentikan aktiviti-aktiviti negative seperti
ini,” tambahnya yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, Sabah.
No comments:
Post a Comment