Wednesday, 27 June 2012

Perang Di Selangor.. Padah Bila Pemimpin Lebih Utamakan Kuasa, Kroni Dari Rakyat


Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Dr Satim Diman berkata ‘perang besar’ yang kini sedang berlaku di negeri itu tidak akan terjadi sekiranya pemimpin-pemimpin parti pakatan pembangkang khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengutamakan kepentingan rakyat berbanding kepentingan kuasa dan kroni masing-masing .

Menurut beliau apa yang berlaku di Selangor sekarang tidak ubah hanya kerana masing-masing tamakkan kuasa dan mahu menunjukkan siapa yang lebih hebat  antara Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Pengerusi PKR negeri, Azmin Ali.

“Mereka dan kumpulan mereka (kumpulan Khalid dan Azmin) hanya membuang masa dan kepercayaan yang diberikan rakyat sedangkan rakyat sentiasa menantikan banyak janji yang ditaburkan semasa pilihan raya umum yang lalu untuk ditunaikan.  Sepatutnya janji kepada rakyat diutamakan bukan janji untuk habuan kroni-kroni mereka.

“Inilah padahnya bila kuasa diberikan kepada pihak yang tidak sepatutnya umpama kera mendapat bunga….  akhirnya rakyat yang merana“ katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas ‘perang besar’ di  Selangor antara kepimpinan PKR negeri  apabila masing-masing terus melemparkan bom perang antara satu sama lain.

Mengulas lebih lanjut Satim yang juga ADUN Serdang seterusnya menambah Tan Sri Khalid sebagai Menteri Besar tetapi tidak mempunyai ‘cengkaman’ di dalam PKR negeri tentunya ditekan habis-habisan oleh Azmin yang memegang jawatan Pengerusi PKR negeri.

Tegasnya perkara ini sebenarnya sudah lama berlaku cuma sejak akhir-akhir ini masing-masing sudah tidak dapat mengawal diri terpaksa melakukan perang untuk mengorbankan musuh mereka sebelum pilihanraya umum akan datang.

“Mereka cuba bunuh antara satu sama lain kerana mereka mempunyai agenda tertentu…. Selangor adalah negeri yang terkaya sudah pasti nafsu di kalangan mereka juga cukup besar…. dan kerana nafsu ini jugalah mereka lupa tentang banyak janji-janji mereka kepada rakyat negeri ini”, ujarnya.


No comments:

Post a Comment