Timbalan Pengerusi Barisan Nasional Selangor Datuk Seri Noh Omar membidas
kerajaan negeri kerana lebih menumpukan kepada isu kewujudan 300,000 pengundi
baru dalam daftar pemilih, dan tidak mengambil berat tentang sejumlah 600,000
rakyat yang layak mengundi tetapi belum mendaftar sebagai pemilih.
Beliau berkata jika kerajaan negeri boleh memperuntukkan RM1 juta
untuk kaji selidik daftar pengundi dari rumah ke rumah, mengapa ia tidak
membantu mendaftarkan rakyat Selangor sebagai pemilih.
Noh mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya
(SPR)Datuk Wan Ahmad Wan Omar semalam bahawa Selangor merupakan negeri yang
mempunyai jumlah tertinggi daripada 3.2 juta rakyat yang layak mengundi tetapi
belum mendaftar sebagai pemilih.
"Yang menghairankan, mengapa kerajaan negeri tidak melakukan
bantahan sebelum tamat tempoh bantahan daftar pemilih, tetapi memilih untuk
melakukan kaji selidik itu, yang tidak mempunyai kuasa daripada segi
undang-undang untuk melakukannya," katanya kepada pemberi selepas menutup
Konvensyen Media Sosial 1Malaysia Selangor anjuran Jabatan Penerangan dengan
kerjasama Jabatan Hal Ehwal Khas Selangor di sini, Selasa.
Noh berkata ini adalah cara pembangkang mengelirukan rakyat dan
kerajaan negeri sepatutnya membantu SPR mendaftarkan mereka yang layak mengundi
sebagai pemilih, dan bukan mencari salah suruhanjaya itu dengan melakukan kaji
selidik ke atas daftar pemilih.
"Mereka sedang bina perspektif negatif terhadap SPR ...
mereka yakin mereka akan kalah, dan akan terus menyalahkan SPR kerana pilihan
raya umum kononnya tidak bersih," katanya.
No comments:
Post a Comment