Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor,
Datuk Seri Noh Omar mempersoal tindakan kerajaan Selangor mengumumkan pemberian
diskaun 20 hingga 25 peratus bayaran cukai pintu kepada semua penghuni rumah
pangsa kos rendah, hanya selepas empat tahun memerintah negeri itu.
Beliau berkata pemberian diskaun itu jelas hanya sebagai
'gula-gula politik' pembangkang menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.
"PRU dah dekat, kenapa sekarang baru terfikir nak laksanakan
janji yang dibuat empat tahun lalu berbanding dengan perkara yang dijanjikan
Perdana Menteri, contohnya pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia yang dilaksanakan
sebaik pengumuman mengenainya dibuat," katanya kepada pemberita selepas
majlis Anugerah Pelajar Cemerlang 2012 kawasan Parlimen Tanjong Karang di sini
hari ini.
Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani mengulas
pengumuman Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam,
berhubung pemberian diskaun cukai pintu kepada pemilik kediaman flat kos rendah
di negeri itu.
Abdul Khalid bagaimanapun berkata diskaun itu hanya layak diterima
oleh
pemilik yang menghuni rumah flat masing-masing dan mendaftar
dengan Badan Pengurusan Bersama (JMB).
Noh turut mempersoal tindakan kerajaan negeri yang tidak
menurunkan cukai pintu bagi semua jenis kediaman di negeri itu seperti yang
dijanjikan dalam manifesto PRU 2008.
"Ini hanya beri pada rumah kos rendah sedangkan berapa sangat
diskaun cukai pintu rumah kos rendah jika dibandingkan dengan kediaman
lain," katanya.
Mengenai tindakan kerajaan negeri memperuntukkan 50 lori kompaktor
sampah kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Bandaraya Petaling
Jaya (MBPJ), Noh berkata tindakan itu dilihat sebagai cubaan untuk menutup
kelemahan pembangkang menyelesaikan isu kutipan sampah di Selangor.
Beliau berkata sekiranya kerajaan negeri serius ingin
menyelesaikan masalah itu, mereka sepatutnya menawarkan kemudahan lori
kompaktor sampah tersebut kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di
Selangor.
"Masalah sampah bukan sahaja di Shah Alam dan Petaling Jaya
tetapi di seluruh Selangor," katanya.
Semalam, kerajaan negeri melalui anak syarikatnya, Kumpulan Darul
Ehsan Berhad membeli 50 buah lori kompaktor sampah bernilai RM14.5 juta
untuk diperuntukkan kepada dua PBT di Selangor sebagai langkah menyelesaikan masalah
kutipan sampah di dua kawasan PBT itu.
No comments:
Post a Comment