Thursday, 21 June 2012

Pembangkang Serang SPR Untuk Cipta Alasan Bila Rakyat Tolak Mereka PRU 13


Menuduh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak telus dan berat sebelah, namun dalam masa yang sama yakin pakatan pembangkang akan menang 105 kerusi parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU13)  ini menggambarkan betapa hipokritnya pemimpin-pemimpin pakatan.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Hulu Selangor, Zulkarnain Abu Hanit berkata, hakikatnya amalan matlamat menghalalkan cara telah manjadi darah daging mereka.

“Kemenangan di 105 kerusi Parlimen sebagaimana yang dicanangkan itu hanya mungkin menjadi kenyataan jika imej institusi atau agensi-agensi kerajaan  di mata awam termasuk SPR berjaya dirosak dan dicabuli.

“Mereka tahu majoriti rakyat akan tetap mengundi dan memperakui keputusan pilihanraya yang dikeluarkan oleh SPR, mereka juga tahu dan sedar mereka telah banyak buat kesilapan terutama banyak janji-janji yang tidak ditunaikan.  Walau bagaimanapun mereka tetap menyalah dan memburukkan SPR untuk menutup kelemahan mereka sendiri,” katanya mengulas keyakinan  pakatan yang kononnya mampu menang sekurang-kurangnya 105 kerusi parlimen baru-baru ini.

Tambahnya, mereka sanggup membuat tuduhan membabi buta untuk menang walaupun caranya tidak betul dan mencabuli hak org lain.

“Berkuasa di lima negeri dan berjaya menidakkan majoriti 2/3 BN dalam Dewan Rakyat hasil daripada PRU12, sangat-sangat menyeronokkan mereka, apatah lagi apabila dapat menggunakan kuasa yang ada dengan sewenang-wenangnya,

“Contohnya, jual harta-harta negeri untuk dapatkan hasil mudah, harta-harta negeri yang diusahakan oleh kerajaan BN terdahulu, bukankah harta-harta itu hak milik rakyat Selangor? Kalau begini cara mengurus negeri, seperti mengurus syarikat perniagaan yang bermatlamatkan keuntungan semata-mata maka memang tidak mengejutkan jika rakyat menolak mereka nanti,” ujarnya yang juga Pengerusi Majlis Belia Daerah Hulu Selangor.

No comments:

Post a Comment