Friday, 20 July 2012

Terlalu Banyak Kelemahan.. Pastikan Selangor Kembali Ke Tangan BN – Khairy


Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairi Jamaluddin membayangkan  bahawa negeri Selangor akan menjadi medan tempur utama buat Barisan Nasional (BN) dalam PRU 13 yang akan datang ini, dalam usaha merampas semula negeri tersebut dari tangan Pakatan Pembangkang.

Menurut beliau, ini ekoran kegagalan Pakatan Pembangkang mentadbir negeri ini di mana lebih 90 peratus janji-janji pilihanraya masih belum dapat ditunaikan oleh kerajaan Selangor, dan juga timbulnya banyak isu-isu penyelewengan kuasa dan wang rakyat.

“Kita mesti merampas semula negeri Selangor untuk membela nasib rakyat di negeri ini yang dianiaya di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Pembangkang.

“Sudahlah rakyat negeri ini ditipu apabila kerajaan Selangor tidak dapat menunaikan janji-janji mereka, malah tidak sampai lima tahun memerintah sudah banyak isu-isu penyelewengan yang melibatkan berbilion duit rakyat Selangor. Kita tak boleh biarkan mereka merampas kekayaan di negeri Selangor untuk kepentingan agenda politik peribadi mereka,” jelas  Khairy.

Sehubungan itu, beliau yang juga Pengerusi Pemuda BN menyeru Pemuda BN agar bekerja keras serta terus mendekati rakyat untuk memperjelaskan segala fitnah yang dilemparkan oleh Pakatan Pembangkang terhadap UMNO dan BN.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Pentas Pentas Pemuda bersempena Pelancaran Jentera Pemuda BN di kampung Raja Musa Batu 8 Tanjong Karang malam Isnin.

Tambahnya lagi, pelbagai isu yang berlaku di Selangor masih belum terjawab dan yang terbaru, isu Talam Corporation yang didakwa melibatkan penyelewengan wang rakyat lebih 1 bilion seperti yang didedahkan oleh Pemuda MCA baru-baru ini.

“Saya cabar MB Selangor perjelaskan perkara ini. Baru-baru dalam persidangan DUN Selangor, beliau ternyata menolak untuk membincangkan perkara ini, seolah-olah ada sesuatu yang nak disembunyikan. Sekali lagi saya cabar beliau  beri penjelasan dan jika tidak, memang benarlah kerajaan Selangor menyembunyikan sesuatu dan cuba menipu rakyat,” tegasnya

Beliau juga mengingatkan sekiranya Pakatan Pembangkang berjaya menawan Putrajaya dalam PRU 13 ini dan menunaikan janji-janji mereka seperti menghapuskan tol, PTPTN, memberi pendidikan percuma dan menurunkan harga minyak, maka negara akan muflis di tahun pertama mereka memerintah.

“Minta dijauhkan Allah, tetapi inilah yang akan berlaku sekiranya Pakatan Pembangkang berjaya menawan pentadbiran negara. Jika mereka tunaikan janji-janji mereka, maka negara akan muflis dan rakyat akan menderita.

“Keduanya, mereka akan memberikan alasan dengan belanjawan yang tidak mencukupi menyebabkan mereka tidak mampu menunaikan janji-janji mereka seperti yang diwar-warkan kepada rakyat, rakyat jugalah menjadi mangsa kerana tertipu dengan janji-janji mereka itu. Inilah dua senario yang saya jangkakan akan berlaku sekiranya Pakatan Pembangkang memerintah, di mana kedua-duanya itu akan menyebabkan rakyat teraniaya, menderita dan tertipu.

“Hanya senario yang ketiga sahaja yang boleh menjamin keamanan dan pembangunan di negara ini dengan meyakini BN yang sudah sekian lama berkhidmat untuk rakyat, untuk terus berkhidmat membangunkan negara ini demi keselesaan rakyat. BN tidak menjanjikan bulan dan bintang, tetapi BN berjanji untuk membantu dan membela rakyat dengan janji-janji yang realistik dan boleh ditunaikan”, ujarnya.

Justeru tegas beliau PRU 13 akan datang ini adalah pertembungan antara kebenaran dan fitnah, jangan sampai negara tergadai dan rakyat  menderita akibat termakan fitnah dan persepsi semata-mata.

No comments:

Post a Comment