Showing posts with label gerakan prihatin rakyat Selangor. Show all posts
Showing posts with label gerakan prihatin rakyat Selangor. Show all posts

Friday, 20 July 2012

Terlalu Banyak Kelemahan.. Pastikan Selangor Kembali Ke Tangan BN – Khairy


Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairi Jamaluddin membayangkan  bahawa negeri Selangor akan menjadi medan tempur utama buat Barisan Nasional (BN) dalam PRU 13 yang akan datang ini, dalam usaha merampas semula negeri tersebut dari tangan Pakatan Pembangkang.

Menurut beliau, ini ekoran kegagalan Pakatan Pembangkang mentadbir negeri ini di mana lebih 90 peratus janji-janji pilihanraya masih belum dapat ditunaikan oleh kerajaan Selangor, dan juga timbulnya banyak isu-isu penyelewengan kuasa dan wang rakyat.

“Kita mesti merampas semula negeri Selangor untuk membela nasib rakyat di negeri ini yang dianiaya di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Pembangkang.

“Sudahlah rakyat negeri ini ditipu apabila kerajaan Selangor tidak dapat menunaikan janji-janji mereka, malah tidak sampai lima tahun memerintah sudah banyak isu-isu penyelewengan yang melibatkan berbilion duit rakyat Selangor. Kita tak boleh biarkan mereka merampas kekayaan di negeri Selangor untuk kepentingan agenda politik peribadi mereka,” jelas  Khairy.

Sehubungan itu, beliau yang juga Pengerusi Pemuda BN menyeru Pemuda BN agar bekerja keras serta terus mendekati rakyat untuk memperjelaskan segala fitnah yang dilemparkan oleh Pakatan Pembangkang terhadap UMNO dan BN.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Pentas Pentas Pemuda bersempena Pelancaran Jentera Pemuda BN di kampung Raja Musa Batu 8 Tanjong Karang malam Isnin.

Tambahnya lagi, pelbagai isu yang berlaku di Selangor masih belum terjawab dan yang terbaru, isu Talam Corporation yang didakwa melibatkan penyelewengan wang rakyat lebih 1 bilion seperti yang didedahkan oleh Pemuda MCA baru-baru ini.

“Saya cabar MB Selangor perjelaskan perkara ini. Baru-baru dalam persidangan DUN Selangor, beliau ternyata menolak untuk membincangkan perkara ini, seolah-olah ada sesuatu yang nak disembunyikan. Sekali lagi saya cabar beliau  beri penjelasan dan jika tidak, memang benarlah kerajaan Selangor menyembunyikan sesuatu dan cuba menipu rakyat,” tegasnya

Beliau juga mengingatkan sekiranya Pakatan Pembangkang berjaya menawan Putrajaya dalam PRU 13 ini dan menunaikan janji-janji mereka seperti menghapuskan tol, PTPTN, memberi pendidikan percuma dan menurunkan harga minyak, maka negara akan muflis di tahun pertama mereka memerintah.

“Minta dijauhkan Allah, tetapi inilah yang akan berlaku sekiranya Pakatan Pembangkang berjaya menawan pentadbiran negara. Jika mereka tunaikan janji-janji mereka, maka negara akan muflis dan rakyat akan menderita.

“Keduanya, mereka akan memberikan alasan dengan belanjawan yang tidak mencukupi menyebabkan mereka tidak mampu menunaikan janji-janji mereka seperti yang diwar-warkan kepada rakyat, rakyat jugalah menjadi mangsa kerana tertipu dengan janji-janji mereka itu. Inilah dua senario yang saya jangkakan akan berlaku sekiranya Pakatan Pembangkang memerintah, di mana kedua-duanya itu akan menyebabkan rakyat teraniaya, menderita dan tertipu.

“Hanya senario yang ketiga sahaja yang boleh menjamin keamanan dan pembangunan di negara ini dengan meyakini BN yang sudah sekian lama berkhidmat untuk rakyat, untuk terus berkhidmat membangunkan negara ini demi keselesaan rakyat. BN tidak menjanjikan bulan dan bintang, tetapi BN berjanji untuk membantu dan membela rakyat dengan janji-janji yang realistik dan boleh ditunaikan”, ujarnya.

Justeru tegas beliau PRU 13 akan datang ini adalah pertembungan antara kebenaran dan fitnah, jangan sampai negara tergadai dan rakyat  menderita akibat termakan fitnah dan persepsi semata-mata.

Thursday, 12 July 2012

Bina Selangor 54 Tahun Musnah Dalam Empat Tahun Di Bawah Pembangkang

Pelbagai isu yang yang dihadapi oleh kerajaan pakatan pembangkang Selangor di bawah pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyebabkan rakyat Selangor menjadi rimas dan semakin hilang kepercayaan.

Selepas empat tahun mentadbir, kerajaan pakatan pembangkang ini bukan sahaja gagal melaksanakan janji-janji dalam manifesto pilihan raya, malah terlalu lemah daripada aspek pentadbiran sehingga menjuruskan negeri ini ke arah kemunduran.

Malah tidak mustahil negeri yang disayangi ini akan hancur sekiranya tidak diselamatkan.

Setiausaha Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS), Zubir Zainuddin berkata, inilah ‘kehebatan’ yang dimiliki oleh pemimpin pakatan pembangkang ini yang hanya mampu merosakkan Selangor dalam tempoh empat tahun selepas dibina dan dimajukan oleh Barisan Nasional (BN) selama lebih 54 tahun.

Tegas beliau semakin hari semakin terdedah tembelang kerajaan pakatan pembangkang ini sehingga menyebabkan rakyat di negeri ini semakin sesak nafas dan sukar bertahan lagi.

“Rakyat perlu bertindak menyuarakan bantahan dan rasa tidak puas hati. Demonstrasi demi demonstrasi diadakan sebagai bukti penolakan terhadap kepimpinan Abdul Khalid yang tidak lebih sebagai ‘saudagar janji’ sahaja dan lebih mengutamakan kroni.

“Pada hari ini, kami, rakyat Selangor yang prihatin ingin menyampaikan bantahan dan rasa kesal kami terhadap tindakan kerajaan negeri yang mempolitikkan Universiti Selangor di Berjuntai Bestari, memejamkan mata terhadap penyelewengan Yayasan Selangor dan isu pembangunan projek komersial di padang kompleks sukan PKNS, Kelana Jaya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan memorandum GPRS kepada Menteri Besar Selangor, yang diterima oleh Setiausaha Sulit MB, Norzatun Aini Kasim tengah hari tadi.

Sehubungan itu tegas beliau lagi GPRS mendesak Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim membersihkan Unisel dengan memecat individu politik dalam lembaga Pengarah Unisel bagi memastikan tiada campurtangan politik di universiti itu.


“GPRS juga mendesak Unisel melantik individu yang benar-benar layak sebagai Ahli Lembaga Pengarah, Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor bagi memastikan universiti tersebut terus berdaya saing dalam melahirkan graduan yang berkualiti tinggi.

“Selain itu kita mendesak agar laporan kewangan Unisel didedahkan kerana difahamkan kewangan universiti itu sedang nazak dan mengalami kerugian serta menyatakan asset mana yang hendak dicairkan bagi menampung kos operasi Unisel.

“Khalid Ibrahim juga harus menyatakan unjuran kemasukan dan jumlah pelajar dari tahun 2008 hingga 2012 kerana difahamkan jumlah pelajar semakin merosot,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, jelas beliau Khalid dan kerajaan negeri juga harus bertanggungjawab terhadap kerugian Yayasan Selangor dengan mengambil tindakan dengan memecat Ilham Marzuki yang mengaku melakukan kesilapan kerana meluluskan peruntukan RM1.4 juta untuk kegiatan tidak berfaedah serta tiada kaitan dengan fungsi yayasan itu sebagai institusi yang memberi tumpuan kepada pembangunan pendidikan.

“GPRS juga menuntut agar kerajaan negeri mengembalikan Padang PKNS kepada rakyat dengan membatalkan RPTJ2 kerana pindaan yang dilakukan tidak mengikut peraturan ditetapkan. Kekalkan Padang PKNS sebagai pusat rekreasi, bukan pusat pembangunan komersial.

“Pengurus Besar PKNS, Othman Omar perlu tampil menjelaskan kepada rakyat mengapa PKNS lebih mengutamakan komersial daripada kepeluan rakyat. Abdul Khalid mesti mengaku dengan jujur bahawa beliau bukan individu yang mengarahkan agar padang itu ditukar status,” tambahnya.

Tegas beliau lagi mempolitikkan Unisel merupakan dosa paling besar Abdul Khalid sehingga menyebabkan universiti yang ditubuhkan pada 1999 untuk melahirkan modal insan di kalangan generasi muda di negeri ini bakal menjadi gajah putih.

“Pelantikan Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin, Ahli Parlimen Merbok dari PKR, Datuk Rashid Din dan Ahli Parlimen Hulu Langat dari Pas, Che Rosli Che Mat adalah bukti penguasaan orang politik dalam Lembaga Pengarah Unisel.

“Selain itu, salah seorang Timbalan Naib Canselor juga merupakan aktiviti politik yang aktif dan pernah dilantik sebagai Jawatankuasa Pas Selangor. Tekanan politik juga menyebabkan bekas Naib Canselor, Datuk Dr Rosti Saruwono dan dua ahli Lembaga Pengarah, Datuk Adnan Alias dan Datuk Dr Mohammed Ariffin Aton meletak jawatan”, ujarnya.

Tambah beliau penglibatan ahli politik dalam pengurusan Unisel tidak akan membawa apa-apa manfaat terhadap usaha membangunkan universiti itu sebagai pusat pengajian tinggi utama di Selangor sebaliknya, akan mencetuskan pertikaian dari aspek profesionalisme terutama dalam menentukan keputusan yang sudah tentu ada campur tangan politik kepartian.