Pada Perhimpunan BERSIH 3.0 yang lepas, pihak pembangkang hanya
berjaya mendapatkan sekitar 25,000 peserta iaitu jauh tersasar dari jumlah
sasaran seramai 500,000 orang. Mungkin
kerana tidak puas hati, dan ingin ‘test power’ memandangkan Pilihanraya semakin
hampir maka satu lagi percubaan untuk menggerakkan seramai mungkin penyokong
mereka melalui demonstrasi, diadakan pada siang tadi. Kali ini, dengan memakai nama Himpunan Oren
pula yang bertujuan kononnya untuk ‘menyelamatkan Felda’.
Menurut mereka, para peserta adalah terdiri dari anak-anak Felda
tetapi kita mendapat tahu bahawa ada pekeliling yang dikeluarkan oleh PAS untuk
mengerahkan ahli-ahli mereka turun beramai-ramai menyertainya. Perlu diingatkan bahawa tiada pula
pekeliling yang sama dikeluarkan oleh DAP, bukan hanya kerana DAP tidak cukup
bodoh untuk menyertai balaci mereka di dalam PAS untuk berbuat sesuatu yang
sia-sia, tetapi juga kerana DAP tidak berminat dengan isu ini memandangkan
Felda adalah isu orang Melayu.
Dari laporan laman-laman web pro-pembangkang, Himpunan Oren
dikatakan mencapai sasaran iaitu disertai oleh 20,000 orang. Namun, mengikut laporan rasmi akhbar-akhbar
utama, ianya hanya berjaya mengumpul sekitar 2,000 – 3,000 orang.
Jika dilihat dari gambar-gambar yang dipaparkan oleh kedua-dua
belah pihak dan dibandingkan dengan gambar-gambar dari BERSIH 3.0 yang disertai
oleh 25,000 orang, nampaknya jumlah peserta Himpunan Oren adalah tidak sampai
separuh pun dari BERSIH 3.0.
Dan penulis percaya, majoriti peserta-peserta adalah orang-orang
yang sama yang menyertai demonstrasi BERSIH sebelum ini, dan juga demonstrasi
Hijau, demonstrasi PTPTN dan entah apa-apa demonstrasi lagi yang didalangi
pembangkang.
Pendek kata, apapun demonstrasi yang diadakan oleh pembangkang,
jumlah maksima peserta yang mampu dicapai ialah sekitar 20,000 sahaja. Dan selalunya jauh tersasar. Jika pembangkang boleh berbangga dengan
angka ini, jelaslah mereka benar-benar berada dalam keadaan yang amat
kronik.
Apapun, sekali lagi kita mengucapkan tahniah kepada pembangkang
kerana berjaya melakukan satu lagi kerja sia-sia dan kerana berjaya
memperbodohkan orang-orang Melayu.
Hakikatnya, FGV telah disenaraikan dengan jayanya pada 28 Jun
lalu. Ia mendapat perhatian meluas dari
pelabur di seluruh dunia sekali gus menunjukkan keyakinan mereka. Kita pasti, suatu hari nanti Felda akan
berjaya menjadi sebuah konglomerat global.
Semua ini mampu dicapai tanpa se-inci pun tanah peneroka
tergadai.
Malah, peneroka telah pun mendapat manfaat darinya dalam bentuk
‘durian runtuh RM15,000’ dan bakal
mendapat lebih banyak lagi dari segi dividen, bonus dan berbagai-bagai lagi,
terutamanya dalam jangka masa panjang dan tidak semestinya dalam bentuk wang
tunai.
Justeru, sikap pembangkang yang memperdaya segelintir anak-anak
Felda untuk membantah sesuatu yang baik untuk mereka amatlah tidak
bertanggungjawab.
Sedangkan, pembangkang cukup maklum bahawa kerja mereka hari ini
adalah sia-sia kerana penyenaraian telah pun dilakukan dan majoriti peneroka
tidak ada masalah dengannya. Memorandum
yang mereka serah tidak ada nilai sama sekali.
Lebih dari itu, analisis yang dilakukan oleh pemerhati politik
menunjukkan bahawa sokongan terhadap BN semakin meningkat di kalangan warga
Felda.
Kita tahu bahawa apa yang pembangkang ingin capai hari ini
bukanlah untuk membatalkan penyenaraian atau apa-apa yang berkaitan dengannya
kerana mereka tahu itu adalah mustahil.
Tujuan pembangkang hanyalah untuk meraih publisiti, selain
beberapa orang kroni mereka ingin membuat sedikit wang dengan membuka gerai
menjual T.Shirt, air mineral dan beberapa barangan lain.
Jelas sekali yang pembangkang sudah ketandusan isu dalam menuju
pilihanraya. Maka, kerana ketiadaan isu,
mereka akan melakukan apa saja semata-mata untuk memastikan rakyat tidak
lupakan mereka
No comments:
Post a Comment