Friday, 20 July 2012

Campurtangan Politik Di Masjid – GAPS Rayu Kepada Sultan Selangor


Pengerusi Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) Hamidzun Khairuddin berkata, rakyat dikejutkan dengan campurtangan politik dalam pentadbiran masjid di negeri Selangor yang berlaku tanpa batasan lewat beberapa tahun kebelakangan ini.


Malah kita pernah menyaksikan ada YB yang bukan Islam dibenarkan “bertazkirah” dan menyampaikan bantuan zakat dalam masjid dan bagaimana ustaz yang tidak mempunyai tauliah JAIS dibenarkan menyampaikan pengajian dan menggunakan korum yang ada untuk berkias soal politik.

“Kita juga pernah melihat bagaimana kawasan masjid digunakan oleh YB yang bukan Islam untuk bersenam “terkinja-kinja” dikhalayak yang bukan muhrim. Kita juga mendengar bagaimana wang dan harta masjid diselewengkan,  disalahgunakan dan dihabiskan untuk kepentingan puak tertentu.

Yang terbaru, banyak rintihan rakyat kedengaran mengenai campurtangan politik dalam pemilihan Ahli Jawatankuasa Masjid. Pemilihan tersebut dilaksanakan secara tidak telus, pincang, tidak demokratik dan diselewengkan.  Namun malangnya penyelewengan dan kepincangan ini diiktiraf oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Adakah JAIS juga sudah dikuasai parti politik tertentu?,” ujarnya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada wakil Tuanku Sultan Selangor, di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam sebentar tadi. 
 
Tambahnya, antara aduan rakyat adalah senarai lantikan ahli jawatankuasa baru masjid yang bertentangan dengan keputusan undian yang telah dibuat. Semua berjalan lancar dan perlantikan dibuat secara telus tetapi  senarai yang diumumkan JAIS berlainan dengan apa yang diputuskan dalam pemilihan.

Dalam masa yang sama, mereka yang terpilih adalah dari kalangan individu yang tewas dalam pemilihan yang dijalankan. Senarai yang dikeluarkan JAIS itu berlainan – misalnya rakyat sebulat suara pilih imam satu tetapi tiba-tiba dia tiada dalam senarai yang JAIS umumkan. Terdapat juga Nazir yang ditukarkan menjadi imam dua.

“Rakyat tak faham mengapa ini boleh terjadi. Kami tak kisah dengan siapa yang dah dipilih cuma kesal dengan tindakan JAIS dan mengharapkan mereka mendengar suara kami. Rakyat telah menyerahkan memorandum bantahan kepada JAIS namun sehingga kini belum menerima sebarang jawapan berhubung perkara itu.

Lantikan baru ahli jawatankuasa masjid ada campur tangan politik. Sangat mengejutkan ahli kariah turut tidak dimaklumkan terlebih dahulu mengenai perubahan lantikan baru sebaliknya wakil JAIS hanya mengumumkannya sebelum solat Jumaat,” tambahnya.

Oleh yang demikian, GAPS mewakili rakyat negeri Selangor ingin mengadu dan merayu kepada Tuanku Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam di Negeri Selangor Darul Ehsan.

“Kami ingin memohon Tuanku Sultan Selangor mengarahkan JAIS mengantung jawatan semua Jawatankuasa masjid yang baru dan memanjangkan tauliah perlantikan Jawatankuasa masjid yang lama selama 6 bulan.

JAIS juga harus mengadakan semula pemilihan semua Jawatankuasa masjid di Negeri Selangor dalam tempoh 6 bulan. Bagi memastikan pemilihan dapat dijalankan dengan telus dan adil sebuah Jawatankuasa Peringkat Negeri Selangor wajar dibentuk dengan diketuai oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk mengurus, memantau dan menyelia setiap pemilihan Jawatankuasa masjid dan surau.

Kita juga meminta agar pihak JAIS memastikan mimbar jumaat, pengajian, kuliah, tazkirah atau program Masjid dan surau tidak digunakan sebagai medan politik samada dalam bulan Ramadhan atau bulan-bulan yang lain,” ujarnya yang juga Mantan Ketua AMK Selangor.

No comments:

Post a Comment