Bajet yang dibentangkan oleh Dato’ Seri Najib nampaknya cukup
ampuh sehingga menyebabkan Pakatan Rakyat terpaksa terus memperkatakannya
semata-mata untuk mencari kelemahan dan menimbulkan keraguan. PR juga harus terus mempertikaikan Bajet
tersebut bagi mengalih pandangan rakyat daripada Bajet tong kosong yang
dibentangkan mereka.
Secara amnya, jumlah peruntukan antara kedua-dua Bajet tidaklah
banyak berbeza. Yang membezakan
kedua-duanya ialah pertama, ruang lingkup atau skop golongan rakyat yang
mendapat manfaat di mana Bajet BN merangkumi semua golongan dari OKU hinggalah
kepada korporat tetapi Bajet PR hanya melibatkan rakyat secara umum.
Keduanya ialah perancangan BN jelas mengambil kira kesan dalam
jangka masa panjang tetapi PR hanya fokus kepada kesan segera.
Ketiganya, Bajet BN adalah menjurus kepada kesejahteraan rakyat
dan kemajuan negara tetapi PR hanya menumpukan kepada faedah langsung kepada
rakyat tanpa memikirkan kesannya kepada ekonomi negara.
Keempat, Bajet BN adalah selari dan tidak pernah tergelincir dari
corak dan jatidiri negara yang berlandaskan dasar-dasar ekonomi sedia tetapi
Bajet PR kelihatan cenderung untuk mencabar dasar-dasar negara, malah tidak
begitu konsisten dengan Buku Jingga mereka sendiri.
Antaranya, penghapusan duti eksais kenderaan sebanyak 20%,
pendidikan percuma dan penghapusan PTPTN.
Menurut laman Suara PR, alasan ia tidak selari dengan Buku Jingga
ialah kerana kesemua insentif tersebut bersifat jangka panjang sedangkan Buku
Jingga adalah janji 100 hari pertama Pakatan Rakyat jika diberi kuasa untuk
memerintah negara.
Malah, laman tersebut juga mengakui bahawa penghapusan PTPTN tidak
akan berlaku dalam sekelip mata tetapi mengambil masa 2 tahun, begitu juga
dengan penghapusan tol di mana yang dijanjikan di dalam Buku Jingga bukanlah
penghapusan segera tetapi ‘tindakan segera (dalam masa 100 hari) untuk
mengarahkan Khazanah Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lain-lain badan milik kerajaan yang
memiliki konsesi lebuhraya untuk
menyempurnakan ambil alih aset lebuhraya oleh kerajaaan dengan tujuan menghapuskan tol’.
Jawapan yang diberi oleh PR mengenai percanggahan Bajet Alternatif
dengan Buku Jingga menunjukkan yang mereka sememangnya berniat untuk
mengelirukan rakyat.
Bagi menutup mata rakyat dari menyedari putar-belit mereka, PR
mewar-warkan bahawa Bajet yang dibentangkan mereka akan membolehkan rakyat
memiliki pendapatan boleh diguna pakai tambahan sebanyak RM930 setiap bulan
iaitu dari penjimatan harga kereta yang lebih rendah iaitu sebanyak RM70,
penjimatan daripada penghapusan tol (RM50), penghapusan pinjaman bagi peminjam
PTPTN yang layak (RM200), elaun pengajaran khas yang dijanjikan dalam Buku
Jingga (RM500), sumbangan kerajaan ke dalam Caruman Wanita Nasional (RM50) dan
penjimatan daripada harga makanan dan barangan susulan kos minyak dan
pengangkutan (RM60).
Kita percaya, bukan semua rakyat Malaysia buta ekonomi seperti
Anwar Ibrahim yang hanya berkelulusan Pengajian Melayu dengan gred cukup-cukup
makan. Dan kita pasti, hujah penjimatan
RM930 ini tidak mampu memperdaya rakyat yang benar-benar bijak.
Bukan semua rakyat terlibat dengan pinjaman PTPTN, dan bukan semua
rakyat bekerja sebagai guru yang akan mendapat elaun RM500 sebulan serta bukan
semua rakyat perlu melalui jalan bertol, melainkan mereka yang tinggal di
bandar besar. Sedangkan majoriti rakyat
berada di kampung-kampung dan bandar-bandar kecil. Oleh itu, bagaimanakah nilai penjimatan
RM930 itu bagi diri mereka-mereka ini?
Selain itu, penjimatan harga kereta sebanyak RM70 tidak akan
membawa banyak perbezaan. Manakala
penurunan harga minyak dan makanan adalah bergantung kepada harga pasaran dunia
dan bukan seratus-peratus di tangan kerajaan PR.
Namun, katakanlah kerajaan PR masih mampu menunaikan semua janji
ini, rakyat mungkin boleh bergembira, tetapi hanya untuk sekejap cuma. Ini kerana pendidikan percuma, penghapusan
PTPTN dan tol, penurunan harga minyak dan barangan serta duti eksais kenderaan
bakal meletakkan negara dalam keadaan krisis dalam masa hanya beberapa tahun
dari perlaksanaannya.
Pendidikan percuma serta penghapusan tol dan PTPTN bermakna kos
akan ditanggung oleh kerajaan, sekali gus menjejaskan peruntukan untuk bantuan
dan program lain yang lebih memberi manfaat kepada rakyat. Selain menyumbang kepada masalah lain iaitu
kualiti pelajar yang menurun lalu membawa kepada masalah sosial yang bertambah. Begitu juga dengan kualiti penyelenggaraan
lebuhraya juga tidak mustahil akan mengalami nasib yang sama.
Manakala penghapusan duti eksais kenderaan sebanyak 20% pula akan
menyebabkan industri kereta terpaksa menanggung harga barangan yang lebih
tinggi untuk terus beroperasi serta mampu membunuh industri automobil nasional
dalam jangka masa panjang. Ini pastinya
satu kerugian yang besar untuk negara dan juga rakyat termasuk vendor-vendor
yang terlibat dalam industri ini.
Begitu juga dengan perancangan PR untuk memecahkan monopoli dalam
perniagaan yang mana mendedahkan GLC kepada pemilikan asing selain ‘menjerut’
peluang kaum bumiputera untuk sama-sama duduk di bangku korporat.
Dari semua ini, kelihatan jelas bahawa PR menganggap rakyat semua
adalah bodoh-bodoh belaka dan tidak mampu mengupas dan meneliti kesan jangka
panjang dari Bajet yang dibentangkan mereka.
Hakikatnya, rakyat dapat melihat dengan jelas bahawa PR tidak berpandangan
jauh dalam merancang Bajet kerana Bajet Alternatif PR adalah sebenarnya Bajet
Pilihanraya. Oleh itu, segala-galanya
difikir dan dibentangkan untuk menang pilihanraya bukan untuk kesejahteraan
rakyat dan negara.
No comments:
Post a Comment