Pembohongan pembangkang dalam isu kapal selam Scorpene nampaknya
tidak boleh diselindungi lagi.
Apatah lagi isu yang dijadikan senjata politik oleh Ketua
Pembangkang, Anwar Ibrahim sejak tahun 2008 tidak mampu lagi dipertahankan
apabila sedikit demi sedikit kebenaran mengenai kedudukan sebenar isu tersebut
telah dibongkar.
Terbaru. Yves Charpenel, seorang pendakwa kerajaan Perancis yang
terkenal telah menafikan laporan-laporan media pro pembangkang yang tersebar
selama ini bahawa isu Scorpene sedang dibicarakan di Perancis.
Pembangkang menyebar dakyahnya bahawa kononnya penyiasatan
(bukannya perbicaraan) yang sedang berlangsung adalah hasil laporan yang dibuat
oleh pihak Suaram pada 2009 terhadap syarikat milik kerajaan Perancis, DCNS
yang dituduh membayar komisyen kepada pihak tertentu di Malaysia dalam urusan
pembelian dua kapal selam tersebut pada tahun 2002.
Di bawah undang-undang Perancis pembayaran sebarang komisyen dalam
urusan seperti ini adalah tidak dibenarkan.
Sebelum ini Ketua Pembangkang sanggup terbang ke Paris untuk
menjemput dua orang peguam yang mewakili Suaram dan seorang peguam mewakili
DCNS untuk memberi taklimat kepada semua ahli parlimen Pakatan Rakyat.
Usaha ini menunjukkan bahawa pembangkang kini berada dalam keadaan
gelisah dan panik kerana isu Scorpene kini dilihat boleh memakan diri mereka
sendiri jika tidak diurus dengan sebaik mungkin.
Sebab itulah Anwar terpaksa mengambil alih peranan yang pernah
dimainkan oleh Suaram sebelum ini untuk mempastikan isu Scorpene terus hidup.
Bagaimanapun usaha Anwar ini juga akan turut gagal kerana kini
rakyat Malaysia sudah tahu siapa dalang sebenar isu Scorpene selama ini.
Ia bukannya Suaram yang hanya merupakan satu cabang daripada PKR
tetapi 'mastermind' sebenarnya tidak lain tidak bukan adalah Anwar sendiri.
Sehari selepas kenyataan Charpenel, balaci Anwar, Tian Chua terus
mempertahankan fantasi yang dimainkan pembangkang bahawa penyiasatan masih
terus dijalankan yang menjurus kepada perbicaraan.
Bak kata orang kalau sudah mula berbohong, maka terpaksa korek
lubang lain untuk menutup pembohongan yang telah dibuat.
Lama kelamaan lubang semakin besar dan akhirnya tidak boleh
ditutup lagi dan yang berbohong akan jatuh ke dalam lubang yang digalinya
sendiri.
Anwar masih berfikir dan yakin isu Scorpene masih mampu untuk
menggugat kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada pilihan
raya umum ke 13 kelak.
Beliau berfikir mimpinya untuk ke Putrajaya boleh digapai dengan
mengeksploitasi isu itu.
Namun beliau gagal memahami bahawa isu Scorpene atau mana-mana isu
yang dipolitikkan sekali pun boleh melarat dalam bentuk dua reaksi - samada ia
boleh membantu kerjaya politik seseorang yang mencetuskannya atau sebaliknya
isu tersebut akan membaham dan menjahanamkan impian seseorang.
Kelihatan Anwar sekarang terjerat dalam pilihan kedua kerana
permainan yang dimulakan oleh apparatnya yang bernama Suaram tiga tahun lalu,
bukannya semakin menguntungkan beliau tetapi telah menjadi sebagai liabiliti
terbesar yang bakal memusnahkan buaian mimpi pembangkang bertapak di Putrajaya.
Tian Chua, Sivarasa, Cynthia Gabriel dan geng yang sama-sama
melakar komplot Scorpene menyedari hakikat ini bahawa masa untuk kebenaran
terbongkar sudah amat hampir.
Mereka dilihat tidak lagi mampu meneruskan strategi tersebut
secara efektif lalu menyerahkan tanggungjawab tersebut di atas pundak Anwar.
Anwar pula sudah tentu tidak mampu menggalas beban Scorpene
seorang diri tanpa bantuan budak-budak suruhannya.
Jika ini berlaku, kekuatan pembangkang terutamanya PKR yang dibina
di atas landasan pembohongan demi pembohongan dalam isu ini, akan menjadi
petanda parti itu pada PRU13 nanti.
Malah rakan kongsi Anwar, DAP dan PAS juga tidak mempunyai
kekuatan untuk terus mendokong isu ini dan mereka juga akhirnya akan
meninggalkan PKR keseorangan menangani isu Scorpene yang sudah kekeringan
modal.
Hakikat isu sudahpun dijelaskan oleh Ketua Audit Negara bahawa
pembelian dua kapal selam itu telah mematuhi semua prosedur perundangan.
Tidak ada perbicaraan seperti mana yang ditegaskan oleh Charpenel
maka dengan itu Suaram telah berbohong kepada rakyat apabila mendakwa beberapa
individu termasuk Perdana Menteri telah disepina untuk hadir di mahkamah
Perancis.
Malah kematian wanita Altantuya Shaariibuu juga tidak ada kena
mengena dengan isu Scorpene seperti mana yang ingin dikaitkan oleh pembangkang.
Semua maklumat yang telah tersebar secara meluas oleh media
pembangkang selama ini untuk membohongi rakyat adalah hasil pintalan fantasi
seorang bernama Anwar yang teringin sangat menjadi Perdana Menteri.