Pertengahan tahun ini dunia pendidikan tanahair berkocak seketika
apabila Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim menggesa para pelajar supaya tidak
membayar hutang pinjaman pendidikan yang diberikan oleh PTPTN.
Beberapa bulan sebelumnya, pakatan pembangkang khususnya PKR telah
mempropagandakan janji pendidikan percuma selain berhasrat menghapuskan PTPTN
yang dianggapnya hanya membebankan pelajar dengan hutang.
Berikutan itu, PTPTN telah bertindak balas dengan menangguhkan
sementara pemberian pinjaman kepada 1,000 orang pelajar baru Universiti
Selangor (UNISEL) bagi memberi ruang kepada kerajaan PKR Selangor membuktikan
janji pendidikan percuma bukanlah omong kosong semata-mata.
Menyedari kesilapannya mencetuskan kontroversi dengan memusuhi
PTPTN tidak mendatangkan kesan baik terhadap imej PKR dan PR, akhirnya kerajaan
negeri mengarahkan Naib Canselor UNISEL merayu kepada Menteri Pengajian Tinggi
dan PTPTN supaya diberikan semula kemudahan pinjaman kepada para pelajar
UNISEL.
Namun sebelum itu, khalayak umum didedahkan dengan perancangan
Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim yang mahu menjual aset UNISEL berupa
sebidang tanah bernilai RM30 juta konon bertujuan untuk menampung kos pengajian
dan sara hidup pelajar UNISEL.
Walaupun beberapa ketika kemudian penangguhan pinjaman PTPTN untuk
pelajar UNISEL ditarik balas selepas menerima rayuan dari Naib Canselornya,
tapi apabila Khalid masih bertegas untuk meneruskan hasratnya menjual tanah
milik UNISEL ia menimbulkan tanda tanya di minda rakyat Selangor.
Timbul banyak andaian mengatakan kebarangkaliannya tujuan
rancangan menjual aset UNISEL itu sebenarnya bermaksud untuk menutup kerugian
berpuluh juta ringgit yang terpaksa ditanggung oleh UNISEL sejak negeri
tersebut diperintah oleh pakatan pembangkang.
Ini kerana berdasarkan laporan audit kewangan UNISEL yang
ditandatangani oleh Khalid pada 27 Ogos 2011, keseluruhan kerugian yang dialami
oleh UNISEL bagi tempoh 3 tahun (2008 - 2010) agak besar sehingga mencecah
RM54.86 juta.
Seandainya aset tanah tersebut yang dikatakan bernilai RM30 juta
itu berjaya dijual bermakna, sebahagian besar hutang UNISEL dapat ditutup
sekaligus diharapkan dapat menyembunyikan kelemahan urus tadbir pemimpin
pembangkang.
Mengikut beberapa sumber dalaman pula, jumlah kerugian tersebut
antaranya turut disebabkan oleh peningkatan kos pengurusan universiti berkenaan
apabila banyak jawatan tinggi berasaskan kuota politik diperkenalkan sejak
Selangor diperintah oleh PR.
Bagaimanapun kerugian RM54.86 itu dipercayai belum termasuk lagi
tunggakan pembayaran RM15 juta yang ditanggung oleh UNISEL berikutan
kegagalannya membayar kos penyelenggaraan dan pengurusan asrama sejak 17 bulan
lalu dengan syarikat Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB).
Sementara itu, apabila khalayak didedahkan dengan kerugian besar
dan tanggungan hutang yang membebani UNISEL tika ini, banyak keraguan lain
timbul mempersoalkan kemampuan pakatan pembangkang untuk menunaikan janji
pendidikan percuma yang mereka propagandakan selama ini.
Dalam keadaan janji pendidikan percuma pun belum bermula dan baru
sekadar menguruskan satu dua IPT pun sudah tidak berupaya menangani masalah
hutang sehingga menimbulkan keresahan pelajar dan golongan pendidik, mampukah
PR mencari sumber lain untuk menampung kos pendidikan percuma yang mereka
war-warkan?
Kalau setakat jual tanah dan gadai aset bangunan sana sini sekadar
untuk tampung kos pendidikan percuma, tiada gunanya kerana lama-kelamaan
aset-aset bernilai akan habis jua dan selepas itu dari mana pula mahu dicari
sumber kewangan?
Atau sememangnya sudah ada dalam perancangan mereka untuk
menaikkan cukai pendaptan individu dan korporat kemudian kecilkan pula jumlah
kakitangan awam semata-mata untuk menjayakan janji pendidikan percuma?
Sehingga kini tiada tanda atau petunjuk jelas mana-mana kerajaan
negeri pimpinan PR yang berupaya menyediakan pendidikan percuma walaupun kolej
dan universiti yang berada di bawah kelolaan mereka cuma satu atau dua buah
sahaja.
Dalam keadaan demikian pun sudah berpuluh juta kerugian terpaksa
ditanggung oleh pihak UNISEL tanpa penyelesaian konkrit dari kerajaan negeri,
tidak syak lagi sekiranya pengundi memberi peluang pembangkang memerintah di
peringkat pusat mahunya satu demi satu aset dijual dan akhirnya negara muflis
macam Greece.
No comments:
Post a Comment