Kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat baru-baru ini dilaporkan telah
membuat ketetapan bahawa ruang bangsa dalam semua dokumen rasmi kerajaan
seperti kad pengenalan, sijil kelahiran dan sebagainya akan diisi dengan
perkatan Malaysia sahaja sekiranya mereka memerintah negara. Alasannya ialah untuk memastikan keutuhan
perpaduan di kalangan rakyat Malaysia.
Menurut laman Suara PR, khabarnya juga, PR turut bercadang akan
menghapuskan ruangan agama dan jantina bagi memastikan tiada perbezaan atau
diskriminasi ke atas mana-mana pihak.
Kita melihat bahawa rancangan PR ini tidak lain tidak bukan ialah
untuk menepati matlamat akhir perjuangan sebenar mereka iaitu menghapuskan
status ‘bumiputera’ serta menyebarkan fahaman pluralisme dan liberalisme
total. Tindakan PR menerima baik malah
menjulang para pejuang murtad dan LGBT seperti Ambiga dan yang seangkatan
dengannya, sebagai wira dalam menentang kerajaan, adalah buktinya.
Dengan kad pengenalan baru tersebut, pastinya sukar untuk
mengenalpasti pertukaran agama mahupun jantina seseorang. Bayangkan masalah yang bakal timbul jika
jenazah seorang mualaf mungkin ditanam di perkuburan bukan Islam akibat tiada
siapa dapat membuktikan agamanya. Atau
bagaimana jenazah seorang yang menukar jantina akan disembahyangkan apabila
segala-galanya menjadi keliru antara kejadian alam semulajadi dengan peraturan
ciptaan manusia.
Dan bayangkan juga nasib kaum Melayu tanpa status bumiputera. Bagaimana agaknya peniaga-peniaga kita akan
dapat bersaing dengan peniaga-peniaga Cina yang sedia mengawal ekonomi
Malaysia? Apakah jaminan mereka tidak
akan didiskriminasi oleh peniaga, pengedar dan pembekal dari kaum Cina? Bagaimana dengan anak-anak Melayu kampung
yang miskin dapat menyaingi anak-anak bandar dan kaum lain dalam merebut
peluang ke menara gading? Bagaimana
kita memastikan kaum Melayu yang rata-ratanya dari golongan pekerja dan pegawai
kerajaan dapat mengimbangi jumlah penduduk di bandar-bandar besar jika tidak
mampu membeli hartanah yang harganya menjulang tinggi?
Ini belum lagi dibincangkan mengenai senario kuasa politik yang
sama kuat atau lebih berat di kalangan bukan Islam di dalam kabinet PR. Dengan tekanan dari ‘pejuang hak asasi’
seperti Ambiga dan angkatannya, bagaimana kita memastikan yang pihak yang lemah
terbela serta tuntutan Islam terlaksana dalam setiap krisis yang membabitkan
Melayu dan Islam?
Begitu banyak persoalan dan permasalahan yang bakal timbul dengan
cadangan kad pengenalan baru PR ini.
Tetapi, malang dan hairan sekali kerana PAS tidak pula membuat bising
atau ‘berjihad’ menentang rancangan ini.
Walaupun terdapat keraguan dan rungutan dari beberapa pihak di
dalam PR tetapi tiada tentangan keras, dan akhirnya tenggelam begitu saja.
Sewajarnya perkara ini tidak ditenggelamkan kerana ia bakal
memberi impak yang besar kepada negara dan rakyat perlu menelitinya supaya
tidak terngadah di kemudian hari.
Begitupun, kita pasti, ramai dari kalangan penyokong PR sendiri yang
musykil dan kurang percaya dengan laporan ini.
Tetapi, inilah yang disebut oleh pemimpin mereka dan ianya
dilaporkan oleh laman web pro mereka.
Oleh itu, ia perlu diambil serius oleh setiap seorang dari rakyat
Malaysia. Jangan sampai tersilap
memberi mandat kepada parti yang bertunjangkan liberalisme dan pluralisme. Jangan sampai kita menangis air mata darah
andainya generasi kita yang akan datang menghadapi krisis agama, bangsa dan
juga jantina.
Alasan perpaduan yang digunakan oleh PR sebagai asas cadangan kad
pengenalan ini tidak boleh dipakai sama sekali.
Ini kerana Rakyat Malaysia telah pun bersatu sejak berpuluh tahun
lalu. Kalaupun ada cabaran yang
menggoyahkan perpaduan dalam negara sebelum ini, ia tidak lain tidak bukan,
datangnya dari parti pembangkang juga, seperti DAP pada 13 Mei dan PAS yang
pada satu ketika menganggap kaum bukan Islam itu najis malah UMNO juga sebagai
kafir.
Rakyat Malaysia kekal bersatu di bawah BN hari ini walaupun pihak
pembangkang yang bertopengkan NGO terus berusaha menghancurkannya. Di bawah slogan 1Malaysia, rakyat Malaysia
akan terus bersatu tanpa perlu menghapuskan identiti semulajadi di dalam kad
pengenalan kita. Penentuan bangsa
adalah penting bagi mengenalpasti keturunan, mengenalpasti penyakit dan
sebagainya. Kepastian agama juga
penting, walaupun ia bersifat spiritual dan bukannya fizikal namun ia wajib
bagi menentukan struktur kehidupan dan kematian seseorang.
Jelas, penghapusan ruang agama, bangsa dan jantina dalam kad
pengenalan adalah tidak perlu sama sekali kerana ia bukan ramuan kepada
perpaduan. Ia hanyalah penyamaran yang
digunakan untuk pembangkang bagi melindungi matlamat sebenar iaitu sebagai
platform kepada fahaman pluralisme dan liberalisme di negara ini.
No comments:
Post a Comment