Saban tahun menjelang sambutan kemerdekaan negara kita, akan ada
saja kenyataan dan komen negatif seperti disengajakan akan terpancul keluar,
rata-ratanya datang dari kalangan politikus parti pembangkang.
Semacam ada gerakan subversif yang mahu menyemai kebencian dan
menyemarakkan semangat anti patriotisme dikalangan rakyat sedang dijalankan
oleh segelintir poli'tikus' pembaiki labu air.
Biasanya gerakan mereka bermula dengan polemik mempertikaikan
rekabentuk bendera kebangsaan, Jalur Gemilang yang acapkali cuba dikaitkan
dengan bendera Amerika Syarikat hanya semata-mata beberapa warnanya sama.
Sedangkan sebuah negara lain di Afrika iaitu Liberia, benderanya
juga seakan sama seperti bendera Amerika namun tidak pernah ianya menjadi
polemik sehingga menyebabkan hilang rasa hormat rakyat terhadap panji
kemerdekaan negara mereka.
Malah Iran yang sentiasa seringkali dipuja puji oleh pembangkang
khususnya PAS juga memiliki rekabentuk bendera yang hampir sama seperti India,
cuma berbeza dari segi warna merah dan oren serta kedudukan atas bawah warna
hijau, tidak pula pernah pemimpin pembangkang di negara tersebut menjadikannya
pertikaian.
Demikian jua dengan Syiria, Iraq dan Yemen, jalur merah putih dan
hitam melintangnya sama yang berbeza cuma kedudukan objek ditengah lajur putih
sahaja pun tidak sesekali rakyat pernah tersilap mengibarkan bendera, malah
tidak juga hilang kecintaan mereka pada ibu pertiwi.
Begitu juga dengan jiran kita Indonesia dan Singapura, sekalipun
bendera mereka memiliki jalur warna merah putih sama seperti Poland, pantang
sekali untuk mereka menghina panji negara masing-masing apatah lagi untuk
merasa segan untuk mengibarkannya.
Tapi di Malaysia yang tercinta ini, kita memiliki terlampau ramai
politikus yang didukung oleh segelintir rakyat yang tiada semangat kecintaan
pada negara yang begitu gemar memperlekehkan simbol kebesaran negara sendiri.
Dalam pada mereka seringkali membandingkan bendera kita dengan
bendera Amerika sambil memperlekehkan maruah kemerdekaan negara, di masa yang
sama mereka jugalah yang acapkali mendabik dada memuji sistem demokrasi Amerika
dan meminta kerajaan mencontohi kebebasan politik ala Amerika. Kontradiks.
Jika pada tahun lepas (2011) pertikaian terhadap bendera negara
kita hangat diperkatakan gara-gara kenyataan anti patriotisme oleh M.Manoharan,
tahun ini politikus yang sama mempertikaikan pula pengorbanan jaguh badminton
yang berpenat lelah cuba mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.
Tidak lupa juga kontroversi ceramah Mat Sabu pada tahun 2011 yang
secara terbuka pernah mengheret isu Jalur Gemilang dan lagu Negaraku diikuti
sanjungannya pada Mat Indera komunis yang baginya adalah pejuang kemerdekaan
sebenar berbanding pahlawan negara yang menjadi mangsa kekejaman Mat Indera di
Bukit Kepong.
Seperti sengaja mahu merancakkan lagi gerakan anti patriotisme,
dalam tahun ini pula seorang lagi politikus dari PAS, Nizar Jamaluddin turut
berkongsi nada sama-sama mengambil bahagian melabelkan penghinaan terhadap
bendera negara sebagai jalur malang.
Baru beberapa ketika berlalu, kartunis pro pembangkang yang
bernama Zunar pula tanpa sedikit pun rasa bersalah telah dengan angkuh dan
sombong melakarkan karikatur yang memperlekehkan panji kemerdekaan negara.
Dan seperti biasa, para penyokong pembangkang akan berusaha sedaya
upaya cuba menjustifikasikan penghinaan tersebut sebagai satu kewajaran,
sedangkan selama ini merekalah yang bersungguh benar mahu merampas tampuk
kekuasaan negara yang berpanjikan Jalur Gemilang yang mereka hina itu.
Langsung tak terdetik barangkali di nurani masing-masing betapa
polemik yang mereka timbulkan hasil kenyataan anti kenegaraan itu berkait langsung dengan maruah anak
bangsa dan tanahair.
Melihat pada susun atur dan corak serangan terbuka terhadap
simbol, lambang dan sejarah kemerdekaan negara, pastinya tidak sukar untuk kita
membuat satu andaian sememangnya wujud gerakan anti patriotisme dikalangan
politikus pembangkang.
Tentu saja tujuan mereka mahu seboleh mungkin mengikis semangat
patriotisme dikalangan hamba rakyat, bila ianya berjaya dilakukan barangkali
mudah untuk pembangkang mencucuk jarum kebencian bagi mencapai angan-angan
mereka untuk merampas pemerintahan negara ini.
Tatkala ramai pemimpin politik di negara lain bertungkus lumus
melakukan amal bakti dan menabur jasa demi cinta mereka pada negara sekalipun
masing-masing berbeza fahaman politik, di negara kita sebaliknya berlaku.
Politikus pembangkang Malaysia kelihatan semakin selesa
menjalankan gerakan anti kenegaraan samada secara sedar atau tidak, menjurus
kepada kepentingan sempit tanpa mengira impaknya bakal memudahkan musuh luar
mengambil yang bakal menjahanamkan tanahair tercinta.
Oleh itu, semua rakyat Malaysia yang masih menyimpan perasaan
cintakan ibu pertiwi, bangunlah segera mempertahankan maruah tanahair ini dari
terus dinodai oleh politikus haprak yang rendah nilai patriotismenya.
Tanah bertuah ini baik buruknya, lebih atau kurangnya waima
ditimpa hujan batu sekalipun sepatutnya kita sama-sama terus mempertahankan
maruahnya kerana disinilah bumi yang kita pijak dan selamanya akan kita
junjung.
No comments:
Post a Comment