Tidak ada yang lebih memalukan bagi sebuah parti politik daripada
terpaksa menggunakan pengaruh musuh untuk menjatuhkan musuh. Tetapi, inilah yang dilakukan oleh Pakatan
Rakyat iaitu menggunakan pengaruh mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir, untuk
menjatuhkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib.
Jelas sekali yang PR cukup sedar bahawa parti mereka sudah
kehilangan pengaruh secara drastik dan bahawa pemimpin mereka sendiri tidak
punya ‘aura’ yang cukup kuat untuk mempengaruhi rakyat.
Taktik ini pastinya difikirkan setelah melihat bagaimana pendapat
dan pandangan kritis Tun Mahathir terhadap pemerintahan Tun Abdullah sebelum
ini, telah berjaya mempengaruhi rakyat jelata untuk meyakini bahawa
ketidakpuasan hati mereka terhadap kepimpinan adalah berasas. Akibatnya, Tun Abdullah telah terpaksa
menyerahkan tampuk pemerintahan kepada Dato’ Seri Najib, yang mana amat
ditakuti oleh pembangkang.
Ketakutan pembangkang terhadap Dato’ Seri Najib amat ketara
apabila mereka terlebih dahulu mencipta
berbagai-bagai fitnah terhadap beliau bagi memastikan bukan beliau yang menjadi
pengganti Tun Abdullah.
Malang bagi pembangkang, kesungguhan mereka menyerang Dato’ Seri
Najib hanya menambahkan keyakinan rakyat bahawa beliaulah calon yang
terbaik.
Malah, rekod juga menunjukkan bahawa Tun Mahathir sentiasa berdiri
di belakang Dato’ Seri Najib selama krisis kepimpinan berlaku di dalam kerajaan
ketika itu. Beberapa kali beliau
dirakam menyatakan bahawa pilihan pertama beliau adalah Dato’ Seri Najib,
tetapi telah tersilap membuat keputusan untuk memberi peluang terlebih dahulu
kepada Tun Abdullah kerana berpegang kepada budaya ‘seniority’, serta percaya
bahawa Dato’ Seri Najib boleh menunggu kerana usia beliau masih muda.
Namun, semua itu telah dilupakan oleh pembangkang dan sebaliknya
memilih untuk ‘berpegang’ kepada kenyataan Tun Mahathir baru-baru ini apabila
ditanya sama ada Dato’ Seri Najib perlu meletak jawatan jika BN kalah atau
corot dalam PRU-13? Untuk makluman,
perkara yang sama pernah ditanya oleh Malaysian Insider beberapa bulan lepas
dan hari ini ia ‘disemarakkan’ semula oleh Malaysiakini serta disebarkan oleh
laman-laman sosial PR.
Tun Mahathir seperti biasa menjawab soalan tersebut secara terus
terang, bahawa begitulah sewajarnya, iaitu mana-mana kepimpinan yang
bertanggungjawab harus meletakkan jawatan jika tidak berjaya mendapat keputusan
yang memuaskan. Ini adalah jawapan
‘standard’ tidak kira dalam konteks pemerintahan negara, mahupun organisasi dan
termasuklah dalam bidang sukan di mana jurulatih yang gagal, wajar bersara atau
ditukarkan sahaja.
Memandangkan kita cukup kenal bahawa Tun Mahathir amat konsisten
dengan kenyataan atau pendiriannya, maka jawapan seperti itu sudah pasti telah
dijangkakan oleh pembangkang. Buktinya,
beliau berkata demikian kepada Tunku Abdul Rahman dan berkata yang sama kepada
Tun Abdullah Badawi apabila sokongan terhadap kepimpinan mereka mula lemah dan
parti pemerintah mendapat keputusan yang tidak memuaskan dalam
Pilihanraya.
Maka, bagi pembangkang untuk menggunakan jawapan ‘standard’ Tun
Mahathir itu sebagai modal politik mereka untuk menjatuhkan Dato’ Seri Najib
amatlah menyedihkan. Nampak sangat yang
mereka sudah benar-benar kehabisan modal.
Lebih pelik lagi, modal ini digunakan sedangkan rakyat boleh
melihat sendiri bagaimana akhir-akhir ini Tun Mahathir begitu sibuk ke sana ke
mari memuji-muji kepimpinan Dato’ Seri Najib dan menyeru rakyat agar memberi
sepenuh sokongan dan berdiri teguh di belakang Perdana Menteri. Beliau turut memetik angka-angka ekonomi yang
menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan di bawah kepimpinan Dato’ Seri
Najib dan sentiasa menyokong apa jua tindakan kerajaan.
Berdasarkan apa yang berlaku ini, apa yang cuba digambarkan oleh
PR iaitu Tun Mahathir ragu-ragu dan kurang yakin terhadap kepimpinan Dato’ Seri
Najib tentulah tidak masuk akal sama sekali.
Lebih-lebih lagi, apabila PR turut membayangkan kononnya Tun Mahathir
lebih ‘menggemari’ Tan Sri Muhyiddin untuk menerajui negara.
Strategi untuk melaga-lagakan pemimpin-pemimpin BN sesama sendiri
tidak menjadi kerana ia tidak benar sama sekali. Pemimpin tertinggi UMNO atau BN bukan seperti
pemimpin tertinggi PKR atau DAP, ataupun PAS yang asyik bertelagah gila kuasa
kerana telah dihasut oleh parasit-parasit yang berkembang biak dan merebak
sehingga ke akar umbi parti-parti mereka.
Kepimpinan tertinggi UMNO/BN tidak lagi mengalami masalah berebut kuasa
sedemikian kerana semua yang bermasalah begitu telah lari kepada
pembangkang.
Secara logiknya, apa pun pendapat dan pandangan Tun Mahathir dan
siapa pun yang beliau ‘gemar’ tidak seharusnya menjadi masalah PR. Kenapa PR perlu bergantung kepada pendapat
dan pengaruh seorang musuh ketat untuk menarik sokongan rakyat?
Akhir sekali, kata-kata Tun Mahathir hari ini bahawa “tiada calon
yang lebih sesuai untuk mentadbir Malaysia, selain Dato’ Seri Najib,”
sewajarnya diambil sebagai titik noktah kepada strategi terdesak pembangkang
ini.
No comments:
Post a Comment