Mulanya kerajaan PAS Kelantan terutama sekali
Husam Musa menjangkakan pengumumannya untuk membina lebuhraya Kota Bharu-Kuala
Krai (KB-KK) pada Ogos 2011 lepas dapat dimanipulasikan sepenuhnya dalam PRU 13
yang diramalkan akan berlangsung pada November 2011.
Perkiraan PAS Kelantan cukup mudah, peristiwa
menang nyawa-nyawa ikan di PRK Manek Urai (Julai 2009) dengan kelebihan hanya
65 undi serta kekalahan PAS di kerusi DUN Galas (Okt 2010) dengan majoriti
lebih 1,000 undi menyedarkan PAS dari lamunan panjang.
Kekuatannya dikalangan pengundi dalam negeri
semakin merosot manakala sokongan pengundi luar pula kian merudum. Disebabkan
itu apabila ramai pemerhati meramalkan pilihanraya bakal berlangsung dalam
bulan November 2011, PAS mengambil langkah segera mengumumkan pembinaan
lebuhraya tersebut pada Ogos 2011.
Dengan langkah tersebut PAS percaya akan
mampu menarik kembali sokongan majoriti pengundi luar sekiranya projek tersebut
dapat dimanipulasikan sepanjang kempen pilihanraya sekaligus dapat menampung
kemerosotan sokongan dari kalangan pengundi dalam negeri.
Tanpa sokongan besar pengundi Kelantan yang
berada di luar negeri agak sukar untuk PAS meneruskan hayat pemerintahannya di
negeri tersebut tatkala asakan gelombang merah semakin kuat merobek kekuatan
PAS di Kelantan.
Soal pembinaan lebuhraya tersebut mampu
direalisasikan atau sebaliknya, bukan persoalan penting kerana baik Husam
mahupun kerajaan PAS Kelantan mereka tahu pembinaan jalan baru menghubungkan
Kota Bharu ke Kuala Krai sememangnya akan direalisasikan juga oleh Kerajaan
Pusat sebagaimana termaktub dalam perancangan Central Spine Expressway.
Bagaimanapun hasrat PAS untuk mengabui mata
umum gagal dengan kehendak Allah s.w.t apabila pilihanraya umum tidakpun
berlangsung dalam bulan November 2011. Berikutan itu selama beberapa bulan isu
pembinaan lebuhraya KB-KK tenggelam begitu sahaja.
Apabila khabar angin pilihanraya umum kembali
bertiup kencang pada awal tahun 2012 yang menjangkakan pada bulan Jun 2012
parlimen akan dibubarkan, PAS melalui Husam Musa sekali lagi tampil dengan idea
pembinaan lebuhraya tersebut.
Setelah PAS pasti parlimen akan dibubarkan
pada Jun 2012, maka mereka segera bermesyuarat menetapkan tarikh majlis pecah
tanah sebagai monumen bukti penting lebuhraya tersebut benar-benar akan
dilaksanakan.
Pun demikian, setelah majlis pecah tanah
selesai dilaksanakan oleh Menteri Besar, Nik Aziz Nik Mat pada 28 Mei 2012,
keesokan harinya Perdana Menteri Datuk Seri Najib mengumumkan pembentangan
Belanjawan 2013 akan dilakukan pada 28 September 2012 yang menandakan
pilihanraya umum hanya akan berlangsung selepas pembentangan tersebut.
Kini PAS pening kepala mencari idea untuk
membuktikan projek lebuhraya tersebut tetap akan dilaksanakan juga tanpa perlu
menunggu tempoh tiga empat bulan lagi sementara menanti tarikh pasti
pilihanraya umum ke 13.
Melihat pada gerak tari politik PAS kita
boleh menjangkakan banyak cara yang mereka akan lakukan untuk mengabui mata
masyarakat bagi tujuan memanfaatkan talian hayat terakhir ini, namun di hujung
sandiwara itu kelak akhirnya Kerajaan Pusat juga yang akan
dipertanggungjawabkan untuk merealisasikan janji politik PAS.
No comments:
Post a Comment