Kuala Lumpur, 26 Mei - Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Lembah
Pantai mendakwa kata-kata berbentuk menghina yang dikeluarkan oleh Ketua
Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berceramah merupakan punca
berlakunya kekecohan di perkarangan Pangsapuri Pantai Permai, malam semalam.
Ketua Pemudanya, Datuk Mohamad Sazali Kamilan berkata, Penasihat
Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dikatakan sengaja mencetuskan provokasi dengan
melemparkan kata-kata nista supaya mereka yang menghadiri ceramah Ummi Hafilda
Ali bertindak balas.
Beliau berkata, sungguhpun begitu pihaknya tidak segera bertindak
sehinggalah tiba-tiba berlaku tindakan membaling beberapa objek keras oleh
pihak yang tidak dapat dipastikan.
``Akibatnya seorang ahli Pemuda UMNO tercedera di kepala. Saya
tidak mahu menuduh siapa yang memulakan kekecohan ini dan siapa yang membaling.
Mustahil orang UMNO baling kepada orang UMNO sendiri.
``Ketika itu mangsa sedang duduk mendengar ceramah (Ummi Hafilda).
Mangsa kemudian telah dikejarkan ke klinik berhampiran oleh jawatankuasa
penganjur dan dimaklumkan mangsa menerima enam jahitan,’’ katanya di Rumah
Barisan Nasional (BN) di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Penerangan UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk
Ibrahim Tamby Chik.
Beliau mengulas kekecohan ketika berlangsungnya sesi ceramah Anwar
dan Ummi Hafilda Ali yang diadakan sebelah menyebelah di perkarangan Pangsapuri
Pantai Permai, Pantai Dalam, malam semalam.
Akibatnya, dua lelaki yang hadir untuk mendengar sesi ceramah
iaitu masing-masing seorang penyokong pembangkang dan seorang lagi penyokong
kerajaan cedera di kepala selepas terkena balingan batu daripada kedua-dua
belah pihak.
Ceramah Anwar dianjurkan oleh PKR Lembah Pantai manakala ceramah
Ummi Hafilda dianjurkan oleh Majlis Permuafakatan Muslim.
Mohamad Sazali berkata, selain menghina, Anwar terus melakukan
provokasi melalui kata-katanya yang berbentuk maki hamun hingga keluar
perkataan Pemuda UMNO sial dan Pemuda UMNO celaka.
``Pemuda UMNO Lembah Pantai menyelar kenyataan terbuka Anwar yang
melaungkan perkataan Pemuda UMNO sial, Pemuda UMNO anjing dan Pemuda UMNO
bodoh.
``Kami menuntut Anwar memohon maaf secara terbuka,’’ ujarnya.
Ibrahim ketika memberi reaksi terhadap isu sama berkata, UMNO
tidak pernah mengajar ahli-ahlinya melakukan keganasan, tidak seperti pihak
pembangkang.
``Sikap suka memprovokasi dan bertindak ganas adalah sikap pihak
pembangkang. Buktinya, semasa perhimpunan haram Bersih 3.0 peserta perhimpunan
tersebut telah mencaci dan menyerang anggota polis, wartawan serta merosakkan
harta awam.
``Berbanding dengan UMNO. UMNO tidak pernah menganjurkan
ahli-ahlinya untuk bertindak liar apatah lagi bersikap kurang ajar. UMNO
sentiasa menitikberatkan sikap hormat-menghormati dan mengamalkan demokrasi
dalam politik sejajar dengan Perlembagaan Persekutuan,’’ ujarnya.
Sumber: MalaysianView
No comments:
Post a Comment