Oktober lalu, Mahkamah Rayuan
membuat keputusan melarang penerbitan majalah mingguan Herald-The Catholic
Weekly menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam seksyen bahasa Melayu penerbitan
itu selepas merumuskan penggunaan kalimah ‘Allah’ bukan sebahagian daripada
kepercayaan dan amalan agama Kristian.
Bagaimanapun, Pengarang majalah
Herald-The Catholic Weekly, Paderi Lawrence Andrew kemudiannya secara
biadab telah membuat kenyataan bahawa gereja Katolik di Selangor akan terus
menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguannya.
Kenyataan Andrew bukan sahaja
menghina keputusan Mahkamah Rayuan, malahan turut bercanggah dengan titah
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 14 Disember lalu.
Sultan Sharafuddin antara lain
menegaskan, semua rakyat, khasnya di Selangor, tanpa mengira kaum dan latar
belakang, perlu akur dan patuh terhadap larangan penggunaan kalimah ‘Allah’
oleh bukan Islam seperti yang tertakluk mengikut peruntukan Seksyen 9, Bahagian
1, Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam)
1988.
Hari ini, kemelut kalimah ‘Allah’
menjadi semakin rumit apabila Bible Society Malaysia (BSM) pula bertindak
membelakangkan mahkamah dan menderhaka titah Sultan dengan terus mengedar Bible
Melayu dengan nama ‘Allah’ di dalamnya. Akibatnya, premis BSM telah
diserbu oleh JAIS dan bible tersebut dirampas.
Kejadian ini digunakan sepenuhnya
oleh pihak Kristian untuk menimbulkan gambaran buruk terhadap JAIS, Islam dan
juga kerajaan walaupun apa yang berlaku ialah pihak mereka yang sebenarnya
melanggar undang-undang.
Setiap negara ada undang-undang
dan setiap rakyat wajib akur kepada undang-undang. Undang-undang
dibuat bagi memastikan keadaan berada dalam keadaan terkawal, selain menegakkan
keadilan. Apabila ada pihak yang dengan sengaja melanggar dan tidak
menghormati undang-undang maka keadaan akan menjadi huru-hara dan negara mampu
menjadi tidak stabil.
Manusia yang bertamadun tidak punya
masalah untuk patuh kepada undang-undang biarpun kadangkala mereka merasakan
yang ia tidak menepati citarasanya. Dalam negara demokrasi, biarpun
semua golongan punya hak masing-masing, namun kehendak majoriti wajib
diutamakan. Ini adalah keadilan mengikut sistem demokrasi.
Apa yang pelik ialah pihak yang
begitu lantang memperjuangkan demokrasi di Malaysia enggan menerima hakikat
ini, iaitu kehendak majoriti adalah lebih utama dari minoriti. Pada
hari ini, mereka ini berjuang bermati-matian untuk membela tindakan 9% penganut
Kristian mencabar undang-undang negara serta kehendak majoriti
rakyat. Hujah mereka, mereka hanya memperjuangkan kebebasan beragama
atas nama demokrasi.
Namun hipokrasi mereka terserlah
apabila dalam mereka berhujah bahawa nama Tuhan bukan satu isu besar kerana
semua agama merujuk kepada Tuhan yang sama, mereka berdegil ingin menggunakan
nama ‘Allah’ juga bagi Injil berbahasa Melayu. Kenapa tidak
digunakan saja nama lain jika bagi mereka ia bukan satu isu?
Jelas, pihak pembela Kristian ini
tidak faham bahawa dalam sistem demokrasi, kebebasan dan hak sesiapa jua tidak
harus mengatasi undang-undang. Apatah lagi apabila
undang-undang itu ternyata tidak pernah menimbulkan masalah, dan terbukti
menjadi kunci keamanan dan kestabilan negara.
Tidak cukup dengan mencabar
majoriti dan membelakangkan undang-undang, mereka mencerca pula pihak yang
menang di mahkamah. Kemudian, mereka mempermainkan pula pihak
berkuasa serta ‘memijak-mijak’ kepala DYMM Sultan seolah-olah Institusi DiRaja
dan semua institusi penguatkuasaan di Malaysia tidak bermakna.
Bagaikan manusia ‘barbarian’
mereka memakai undang-undang rimba iaitu sekadar mengikut ‘kepala otak’
sendiri.
Sekiranya manusia tidak
bertamadun ini tidak dikawal, kita khuatir yang negara mungkin akan
huru-hara. Justeru, kita mendesak agar tindakan diambil segera ke atas
mereka yang menghina mahmakah.
Kes Kalimah Allah telah pun
diputuskan di mahkamah dan adalah di bawah bidangkuasa hakim untuk menghukum
mereka yang melanggar keputusannya. Mengikut undang-undang yang kita ada sekarang, seseorang itu boleh dikenakan
hukuman (penjara atau denda) jika sabit kesalahan 'menghina mahkamah' (contempt
of court) apabila ia mempunyai kecenderungan (tendency) untuk campur
tangan, menggugat atau mengganggu proses pentadbiran keadilan (interfere with
the administration of justice).
Dalam kes ini, pihak Kristian, terutama Paderi
Lawrence Andrew dan BSM telah secara jelas dan sengaja, mencabar dan melanggar
keputusan mahkamah.
Oleh itu, melihat dari kekusutan yang telah mereka
cetuskan, adalah tidak wajar sekiranya tiada tindakan dikenakan ke atas
mereka. Kita bimbang jika mahkamah terus menerus melayan karenah pihak
yang tidak bertamadun ini, maka integrasi mahkamah juga akan turut
dipertikaikan.
Kita tidak mahu Malaysia dilihat sebagai negara yang
tidak bertamadun juga kerana tidak mampu menegakkan undang-undang dan
mempertahankan keputusan mahkamah. Kita juga tidak rela titah Sultan
diperlekeh oleh warganegara Malaysia sendiri tanpa apa-apa tindakan dikenakan
terhadap mereka.
Semakin lama perkara ini berlarutan semakin ternampak
seolah-olah Malaysia berada dalam keadaan hilang kawalan.