Friday, 29 March 2013

Taktik Terdesak PR: Guna Pengaruh Musuh Untuk Jatuhkan Musuh



Tidak ada yang lebih memalukan bagi sebuah parti politik daripada terpaksa menggunakan pengaruh musuh untuk menjatuhkan musuh.  Tetapi, inilah yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat iaitu menggunakan pengaruh mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir, untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib.  

Jelas sekali yang PR cukup sedar bahawa parti mereka sudah kehilangan pengaruh secara drastik dan bahawa pemimpin mereka sendiri tidak punya ‘aura’ yang cukup kuat untuk mempengaruhi rakyat.

Taktik ini pastinya difikirkan setelah melihat bagaimana pendapat dan pandangan kritis Tun Mahathir terhadap pemerintahan Tun Abdullah sebelum ini, telah berjaya mempengaruhi rakyat jelata untuk meyakini bahawa ketidakpuasan hati mereka terhadap kepimpinan adalah berasas.   Akibatnya, Tun Abdullah telah terpaksa menyerahkan tampuk pemerintahan kepada Dato’ Seri Najib, yang mana amat ditakuti oleh pembangkang. 

Ketakutan pembangkang terhadap Dato’ Seri Najib amat ketara apabila mereka terlebih dahulu  mencipta berbagai-bagai fitnah terhadap beliau bagi memastikan bukan beliau yang menjadi pengganti Tun Abdullah. 

Malang bagi pembangkang, kesungguhan mereka menyerang Dato’ Seri Najib hanya menambahkan keyakinan rakyat bahawa beliaulah calon yang terbaik. 

Malah, rekod juga menunjukkan bahawa Tun Mahathir sentiasa berdiri di belakang Dato’ Seri Najib selama krisis kepimpinan berlaku di dalam kerajaan ketika itu.   Beberapa kali beliau dirakam menyatakan bahawa pilihan pertama beliau adalah Dato’ Seri Najib, tetapi telah tersilap membuat keputusan untuk memberi peluang terlebih dahulu kepada Tun Abdullah kerana berpegang kepada budaya ‘seniority’, serta percaya bahawa Dato’ Seri Najib boleh menunggu kerana usia beliau masih muda. 

Namun, semua itu telah dilupakan oleh pembangkang dan sebaliknya memilih untuk ‘berpegang’ kepada kenyataan Tun Mahathir baru-baru ini apabila ditanya sama ada Dato’ Seri Najib perlu meletak jawatan jika BN kalah atau corot dalam PRU-13?  Untuk makluman, perkara yang sama pernah ditanya oleh Malaysian Insider beberapa bulan lepas dan hari ini ia ‘disemarakkan’ semula oleh Malaysiakini serta disebarkan oleh laman-laman sosial PR.

Tun Mahathir seperti biasa menjawab soalan tersebut secara terus terang, bahawa begitulah sewajarnya, iaitu mana-mana kepimpinan yang bertanggungjawab harus meletakkan jawatan jika tidak berjaya mendapat keputusan yang memuaskan.   Ini adalah jawapan ‘standard’ tidak kira dalam konteks pemerintahan negara, mahupun organisasi dan termasuklah dalam bidang sukan di mana jurulatih yang gagal, wajar bersara atau ditukarkan sahaja. 

Memandangkan kita cukup kenal bahawa Tun Mahathir amat konsisten dengan kenyataan atau pendiriannya, maka jawapan seperti itu sudah pasti telah dijangkakan oleh pembangkang.  Buktinya, beliau berkata demikian kepada Tunku Abdul Rahman dan berkata yang sama kepada Tun Abdullah Badawi apabila sokongan terhadap kepimpinan mereka mula lemah dan parti pemerintah mendapat keputusan yang tidak memuaskan dalam Pilihanraya.   

Maka, bagi pembangkang untuk menggunakan jawapan ‘standard’ Tun Mahathir itu sebagai modal politik mereka untuk menjatuhkan Dato’ Seri Najib amatlah menyedihkan.  Nampak sangat yang mereka sudah benar-benar kehabisan modal. 

Lebih pelik lagi, modal ini digunakan sedangkan rakyat boleh melihat sendiri bagaimana akhir-akhir ini Tun Mahathir begitu sibuk ke sana ke mari memuji-muji kepimpinan Dato’ Seri Najib dan menyeru rakyat agar memberi sepenuh sokongan dan berdiri teguh di belakang Perdana Menteri.  Beliau turut memetik angka-angka ekonomi yang menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan di bawah kepimpinan Dato’ Seri Najib dan sentiasa menyokong apa jua tindakan kerajaan. 

Berdasarkan apa yang berlaku ini, apa yang cuba digambarkan oleh PR iaitu Tun Mahathir ragu-ragu dan kurang yakin terhadap kepimpinan Dato’ Seri Najib tentulah tidak masuk akal sama sekali.  Lebih-lebih lagi, apabila PR turut membayangkan kononnya Tun Mahathir lebih ‘menggemari’ Tan Sri Muhyiddin untuk menerajui negara. 

Strategi untuk melaga-lagakan pemimpin-pemimpin BN sesama sendiri tidak menjadi kerana ia tidak benar sama sekali.  Pemimpin tertinggi UMNO atau BN bukan seperti pemimpin tertinggi PKR atau DAP, ataupun PAS yang asyik bertelagah gila kuasa kerana telah dihasut oleh parasit-parasit yang berkembang biak dan merebak sehingga ke akar umbi parti-parti mereka.   Kepimpinan tertinggi UMNO/BN tidak lagi mengalami masalah berebut kuasa sedemikian kerana semua yang bermasalah begitu telah lari kepada pembangkang. 

Secara logiknya, apa pun pendapat dan pandangan Tun Mahathir dan siapa pun yang beliau ‘gemar’ tidak seharusnya menjadi masalah PR.   Kenapa PR perlu bergantung kepada pendapat dan pengaruh seorang musuh ketat untuk menarik sokongan rakyat? 

Akhir sekali, kata-kata Tun Mahathir hari ini bahawa “tiada calon yang lebih sesuai untuk mentadbir Malaysia, selain Dato’ Seri Najib,” sewajarnya diambil sebagai titik noktah kepada strategi terdesak pembangkang ini.  

Wednesday, 27 February 2013

Kerajaan Selangor Disaman Lagi, Kali Ini 1001 Warga Emas Tuntut Caruman Takaful

Watan- Fail Saman Warga Emas 01
Kerajaan Negeri Selangor yang dipimpin oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini sekali lagi berdepan dengan gerakan menuntut janji-janji yang telah ditaburkan lima tahun lalu sebelum mereka berkuasa di negeri Selangor ini.
Jika sebelum ini, kumpulan yang menuntut janji air percuma, elaun ibu tunggal, bantuan RM50 kepada anak-anak yang belajar di pra-sekolah, hari ini kumpulan warga emas yang dipimpin Pengerusi Penyelaras Tuntutan Warga Emas Selangor, Datuk Ismail Kijo menfailkan saman melalui Tetuan Kamaruddin & Partner di Mahkamah Tinggi Shah Alam menuntut caruman takaful yang dijanjikan dalam manifesto pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12).
Peguambela, Kamaruddin Ahmad berkata, plaintif-plaintif adalah penduduk negeri Selangor yang bertaraf warga emas yang sejak lima tahun ini tidak menerima dan gagal menerima caruman takaful sebanyak RM2,500 sebagaimana yang dijanjikan oleh kerajaan negeri Selangor.
“Defendan pertama adalah kerajaan negeri Selangor yang terdiri daripada parti-parti politik dikenali sebagai Pakatan Rakyat yang dianggotai Parti Tindakan Demoratik (DAP), Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Defendan kedua adalah Menteri Besar Selangor dan Ketua Eksekutif Defendan Pertama.
Semasa tempoh berkempen untuk pilihanraya umum yang diadakan pada bulan Mac 2008, defendan pertama telah berjanji kepada rakyat Selangor termasuk plaintif-plaintif untuk membuat caruman takaful sebanyak RM2,500 kepada golongan warga emas di negeri Selangor sekiranya pakatan pembangkang ini memenangi pilihanraya tersebut,”ujarnya selepas menfailkan saman permulaan 1001 orang warga emas dari daerah Shah Alam, Ampang, Gombak, Hulu Langat dan Kuala Selangor di Mahkamah Tinggi Shah Alam, pagi tadi.
Tambahnya, berdasarkan manifesto pakatan pembangkang, setiap warga emas di negeri Selangor layak menerima caruman takaful tersebut daripada defendan pertama.
Berdasarkan definisi yang digunapakai oleh pakatan pembangkang, golongan warga emas ini meliputi semua rakyat Selangor semua rakyat Selangor yang berusia 60 tahun ke atas.
 
“Manifesto defendan pertama yang telah dideklarasikan kepada penduduk negeri Selangor semasa berlangsungnya kempen pilihanraya umum ke-12 pada tahun 2008 merupakan satu representasi oleh pakatan rakyat yang menjadi anggota defendan pertama.
 
Manifesto defendan pertama menjadi asas kepada kerajaan yang ditadbir defendan pertama dan defendan kedua.
Kini, warga emas yang merupakan plaintif meletakkan setinggi harapan ke atas manifesto defendan pertama sebagai tempat pembelaan kebajikan hidup plaintif melalui caruman takaful yang dijanjikan kepada golongan warga emas ini,” tambahnya.
Kini, kerajaan negeri bukan sahaja gagal membuat apa-apa caruman takaful kepada warga emas ini malah telah menyalahgunakan kuasanya dengan tidak mengambil sebarang tindakan untuk memastikan tanggungjawabnya membuat caruman takaful kepada warga emas di negeri Selangor ini.
Dalam masa yang sama, Datuk Ismail Kijo menyamakan pakatan PKR-DAP dan PAS  ini sebagai Pakatan Kasanova Rakyat  kerana menjanjikan manifesto yang hanya ingin menarik hati orang yang ingin mereka pengaruhi (kalau kasanova, dia nak menarik hati perempuan-perempuan yang mereka hendak miliki), tetapi apabila dah selesai, bila dia dah dapat semua, ia akan ditinggalkan begitu sahaja.
“Janji-janji manifesto dari pakatan PKR-DAP-PAS hanya bertujuan untuk menarik dan mempengaruhi pengundi-pengundi memandangkan Pilihanraya Umum ke-13 sudah semakin dekat.
Untuk apa mereka membentangkan manifesto baru pakatan pembangkang sedangkan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai antara pemimpin kanan yang turut dipertanggungjawabkan menguruskan negeri Selangor mengatakan bahawa manifesto bukan janji.
Tan Sri Khalid Ibrahim sendiri mengatakan bahawa manifesto itu bukan janji. Kalau manifesto bukan janji, jadi nak buat apa buat manifesto? Kini dah buat janji baru,” ujarnya yang juga Ketua UMNO Bahagian Ampang.
 
Sumber: Watan-Online

Mengapa Roh Altantuya Menangis ..... ??


Baru-baru ini Deepak Jaikishan, si penjual karpet yang menghadapi masalah hutang piutang keliling pinggang pernah cuba menarik perhatian ramai dengan dakwaan bahawa Abdul Razak Baginda sebenarnya seorang lelaki yang mengalami masalah mati pucuk.

Hebat tak hebat si penjual karpet ini mengalahkan doktor pakar sakit tuan, sampaikan rahsia peribadi yang serba sulit lagi mengaibkan seperti masalah mati pucuk seorang lelaki lain pun dia boleh ketahui.

Tapi Deepak terlupa satu perkara hakiki, Razak Baginda sudah terbukti kejantanannya kerana memiliki seorang anak, Roweena hasil hubungan perkongsian hidup dengan isterinya yang sah bernama Mazlinda Makhzan yang sehingga kini masih kekal bersama.

Sebetulnya, tujuan Deepak merekayasa fitnah sedemikian matlamatnya hanya satu - untuk meyakinkan khalayak bahawa ketika Altantuya Shariibuu di bunuh, model dari Mongolia itu sedang berbadan dua dan bayi yang di kandungnya itu pula bukan anak Razak Baginda.

Agaknya bergegar tempat persemadian Altantuya tika ini gara-gara rekayasa terbaru ini, tak pasal-pasal roh Altantuya meraung dan menangis kerana menjadi mangsa fitnah Deepak dan PR yang memanipulasi peristiwa tragis yang menimpanya demi kepentingan politik.

Deepak sebenarnya dalam usaha mengikut skrip garapan PR, cuba menonjolkan keselarasan cerita supaya selari dengan fitnah Pakatan Rakyat (PR) yang sebelum ini menghebohkan kononnya Altantuya mempunyai hubungan sulit dengan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak dan sedang mengandungkan anak luar nikah hasil hubungan mereka berdua.

Dengan demikian, PR mengharapkan fakta sebenar kes yang menyebut bahawa Altantuya adalah kekasih gelap Razak Baginda akan dilupakan oleh khalayak, sebaliknya rakyat diharapkan akan meyakini dengan fitnah rekayasa mereka kononnya Altantuya mati dibunuh ketika sedang mengandung semata-mata untuk menyembunyikan hubungan sulit PM dengan wanita itu.

Sebelum ini PR pernah menyebarkan gambar superimposed kononnya sebagai gambaran bahawa Najib pernah makan semeja bersama Razak baginda dan Altantuya. Mereka juga pernah membuat spekulasi kematian Altantuya disebabkan urus niaga pembelian kapal selam Scorpeane, semata-mata untuk tambah sensasi dan perencah dalam fitnah sensasi ini.

Kesungguhan PR mengadu domba dan memprogandakan kisah fiksyen ini memang tampak jelas sekali niat jahatnya, tanpa mempedulikan kemungkinan tika ini roh si mati sedang merintih menangis minta jangan diganggu lagi.

Hakikatnya PM langsung tidak bersangkut paut dengan kisah rekayasa penuh fiksyen garapan PR mahupun Deepak. Kenal pun tidak, mana mungkin Altantuya tiba-tiba sedang mengandungkan anak Najib? Jadi logik rekayasa PR kononnya Altantuya di bunuh ketika mengandungkan anak Najib tentulah sukar di terima akal.

Kebenarannya, Altantuya dan Razak Baginda memang benar saling mengenali, malah sudah acap kali Razak memberi wang ringgit bagi memenuhi tuntutan teman wanitanya itu. Itu benar dan terbukti faktanya. Jadinya, jika benar Altantuya mengandung ketika mayatnya diletupkan, maka anak itu bukan anak Najib sebaliknya anak Razak Baginda atau lelaki lain.

Malah tuduhan liar pembangkang yang menyebut kononnya isteri PM, Datin Seri Rosmah Mansor terlibat langsung melepaskan tembakan ke arah perut Altantuya juga langsung tidak boleh diterima kala. Kononnya Datin Seri Rosmah sama-sama memanjat bukit jauh ke dalam hutan semata-mata untuk membunuh Altantuya.

Walhal realitinya mana mungkin untuk Datin Seri Rosmah berada di tempat kejadian sedangkan ketika itu beliau sebenarnya sedang melayani anak-anak yatim di Kuala Lumpur. Manakala PM pula menyertai rakyat berbuka puasa di Kedah.

Itu sahaja sebenarnya sudah cukup untuk membongkar fitnah dan penipuan PR serta Deepak. Rekayasa ini memang menarik kalau dibaca sebagai novel fiksyen tapi bila tidak berpijak di bumi nyata dengan isi berterabur dan bercanggah, orang ramai pun bosan jadinya.

Monday, 21 January 2013

Isu Air Selangor. Syabas Cabar Khalid Gagap Lantik Juruaudit



Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) akan memberi kerjasama kepada juruaudit yang dilantik kerajaan Selangor bagi mengaudit operasi Syabas khususnya dalam isu rumah pam Wangsa Maju.

Pengarah Eksekutif Bahagian Hal Ehwal Korporat Syabas Abdul Halem Mat Som berkata Syabas telah menerima makluman berhubung pengauditan itu daripada kerajaan Selangor pada 15 Jan.

"Syabas tidak mempunyai masalah untuk memberikan kerjasama sepanjang tempoh pengauditan," katanya dalam satu kenyataan hari ini yang turut menjelaskan beberapa perkara yang dibangkitkan kerajaan Selangor berkaitan bekalan air di Lembah Klang menerusi media baru-baru ini.

Antaranya mereka mendakwa Syabas enggan melaksanakan pengagihan bekalan air berjadual seperti dipersetujui Jawatankuasa Pemantauan Bekalan Air Negeri Selangor pada 8 Jan lepas.

Menurut Abdul Halem, kaedah membekalkan air mengikut jadual hanya akan dilaksanakan sekiranya tiada alternatif lain dan langkah itu bukan penyelesaian menyeluruh.

"Syabas melaksanakan alternatif lebih berkesan dengan memasang paip pintasan bagi penyelesaian jangka masa panjang dalam waktu yang lebih singkat di mana berjaya membantu membekalkan air ke tempat-tempat terjejas dalam masa kurang dari seminggu," katanya.

Beliau berkata Kerajaan negeri juga mendakwa Syabas enggan menghantar wakil ke Bilik Gerakan Berpusat oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya bagi memantau pengendalian bekalan air kepada pengguna terlibat.

Katanya ketika kejadian, Syabas telah mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) bagi memantau situasi bekalan air secara berterusan termasuk menubuhkan bilik gerakan di Ibu Pejabat Syabas dan pejabat wilayah-wilayah yang terlibat dengan masalah itu.

Sebanyak 950 warga kerja Syabas bekerja secara bergilir-gilir selama 24 jam bagi memantau situasi bekalan air serta membantu membekalkan air kepada pengguna menerusi lori tangki dan tangki statik, katanya.

Menyentuh mengenai edaran air botol sebanyak 400 botol dan air kotak sebanyak 500 kotak oleh Konsortium Abass Sdn Bhd, Abdul Halem berkata Syabas tidak dimaklumkan mengenai perkara itu.

"Walau bagaimanapun, setakat pukul 7 pagi 16 Januari lepas, Syabas telah menghantar bantuan bekalan air melalui lori tangki sebanyak 3,578 trip penghantaran serta 1,000 botol air (lima liter) setiap satu kepada penduduk di Bandar Tun Razak," katanya.

Sumber: Kita Gempur

Sengsara Buat Rakyat Tapi Kerajaan Selangor Cuba Tangguk Untung Politik


Kerajaan Selangor digesa tidak terus bermain politik melampau dengan menjadikan rakyat mangsa dalam isu kemelut air di negeri ini sebaliknya serius untuk mencari jalan penyelasaian agar isu ini tidak berpanjangan.


Ketua Penerangan Pemuda UMNO Selangor, Safarizul Mustafa berkata sejak awal krisis air ini berlaku kerajaan Selangor hanya tahu menuding jari menyalahkan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) sedangkan faktanya jelas amaran tentang krisis ini telah dimaklumkan sejak beberapa tahun yang lalu.

“Jelas dan rakyat sedia maklum bahawa kerajaan negeri bertanggungjawab sepenuhnya masalah air yang dihadapi rakyat kerana kerajaan negeri sendiri menguasai Syabas dengan pegangan 30% saham dalam Syabas yang diwakili oleh anak syarikat mereka, Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) dan Kumpulan Perangsang.

“Tetapi apa yang kita kesalkan hari ini, pakatan pembangkang terutama Kerajaan Selangor hanya menjadikan isu sebagai peluang untuk memanipulasi fakta dengan menyatakan Syabas sebagai beg penumbuk,” ujarnya yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ampang.

Tambah beliau lagi kerajaan Selangor jelas tidak meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan tetapi menjadikan rakyat bahan politik untuk agenda mereka menjelang pilihanraya umum ke 13 ini.

“Jika kita lihat hari ini, ramai ibu-ibu tua, ataupun orang-orang tua yang terpaksa turun naik membawa baldi semata-mata untuk mendapatkan air.

“Ini harus dilihat sebagai serius oleh kerajaan negeri kerana banyak janji-janji yang dijanjikan kepada rakyat, jadi jika janji keperluan asas ini pun tak mampu mereka tangani dengan baik, macam mana mereka nak tunaikan banyak lagi janji-janji mereka sebelum ini”, katanya.

Justeru beliau menyeru agar rakyat terutama pengundi di negeri ini agar membakulsampahkan sahaja segala manifesto pakatan pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.

“Ini kerana pakatan pembangkang sendiri menyatakan bahawa manifesto itu bukan janji. Kalau ia bukan janji maka nyatalah manifesto pembangkang hanyalah gula-gula pilihan raya semata-mata kerana akhirnya janji-janji itu akan hanya tinggal janji kosong”, ujarnya.

Sunday, 20 January 2013

Isu Air: Azizan Tak Berani Mengadap Guan Eng


Belanjawan Kedah 2013 yang dibentangkan baru-baru ini, menunjukkan anggaran hasil sebanyak RM640.55 juta manakala perbelanjaan pula dianggar berjumlah RM656.5 juta.  Ini menjadikan menjadikan anggaran defisit fiskal negeri berjumlah RM15.95 juta.   Bagaimanapun, anggaran ini dibuat secara ‘mimpi’ iaitu mungkin dicongak-congak sendiri oleh kepimpinan negeri tanpa mengambilkira faktor realiti. 

Jumlah defisit tersebut mengambilkira anggaran hasil dari jualan air mentah kepada Syarikat Air Darul Aman (SADA) berjumlah RM33.8 juta dan juga kepada kerajaan negeri Pulau Pinang berjumlah RM20 juta. 

Seperti yang dikatakan, semua ini hanyalah ‘mimpi’ Dato’ Seri Azizan Razak, Menteri Besar Kedah semata-mata.  Kita menyatakan ia sebuah mimpi kerana sehingga bajet tersebut dibentangkan, Azizan hanya syok sendiri tersenyum-senyum mengenangkan hasil yang bakal diperolehi tanpa mengambil langkah untuk merealisasikannya. 

Mungkin Azizan tidak tahu bahawa bajet negeri bukannya untuk syok sendiri, tetapi untuk kesejahteraan rakyat.  Apabila kita bermain dengan angka maka ia perlu ada logiknya kerana angka matematik atau ekonomi bukannya perkara seni yang boleh dibentangkan berdasarkan imaginasi.    Kiraannya perlu tepat dan bersandarkan fakta yang nyata.  Sekiranya ia diletakkan sebagai anggaran, maka anggaran juga perlu dibuat berdasarkan logik. 

Justeru, di manakah logik bajet yang dibentangkan Azizan jika tiada sepatah perbincangan, tiada satu pun pertemuan atau sehelai pun surat yang boleh dijadikan sandaran bagi anggaran hasil yang dibentangkan?  

Amatlah menghairankan apabila selepas bajet tersebut dibentangkan serta dikritik hebat, kerajaan negeri Kedah masih tidak mengambil langkah untuk berbincang dengan kerajaan negeri Pulau Pinang berkenaan hasrat untuk mengenakan bayaran kepada air yang dibekalkan kepada negeri tersebut. 

Sebaliknya, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, atau gelaran terhormatnya, Tokong, hanya mengetahui akan hasrat Kedah ini melalui pembentangan bajet tersebut.   Tentu sekali, Tokong Lim amat terkejut dan marah.  Dan sudah tentu sekali beliau tidak bersetuju kerana ia melibatkan kerugian di pihaknya.

Amalan manusia biasa dalam berurusan jual beli, haruslah melalui proses pertemuan atau perbincangan dan mungkin juga tawar menawar.  Jika kedua-dua pihak bersetuju, barulah urusan tersebut boleh diteruskan dan barulah proses anggaran jumlah kewangan yang bakal terlibat boleh dibuat.  Apabila semua pihak berpuas hati, wang dan barangan pun bertukar tangan, barulah ia dianggap selesai.  Selagi tidak selesai, ia masih dirujuk sebagai anggaran. 

Namun, satu pun dari proses di atas tidak berlaku dalam isu penjualan air ini, melainkan dalam mimpi Azizan.   

Tindakan kerajaan negeri Kedah ini seolah-olah tidak beradab, tidak beretika dan tidak professional.   Nampak benar yang Azizan dan pegawai-pegawainya kekok serta tidak tahu di mana kedudukan mereka.  Azizan bukannya pegawai bawahan dan exco-exco negeri bukannya pekerja kilang atau kerani kerajaan.   Azizan wajib mengadakan pertemuan dengan kepimpinan negeri Pulau Pinang apatah lagi apabila kepimpinan negeri tersebut telah menempelak Azizan secara terbuka kerana isu ini. 

Apakah Azizan takut dengan Tokong Lim?  Ini tidak mustahil kerana sudah termaklum bahawa PAS amat takut kepada Tokong-tokong DAP serta rela memperhambakan diri kepada mereka asalkan Tokong tidak menyepak PAS keluar dari Pakatan Rakyat.  
Jika kita lihat Azizan begitu garang dengan wartawan dan orang-orang UMNO, kenapa Azizan tidak mampu membawa sikap yang sama dalam bekerja?   Di manakah keberanian Azizan yang kita lihat di dalam televisyen itu? 
Justeru benarlah desas-desus yang didengar mengenai Azizan yang mempunyai masalah ‘inferiority complex’.   Buktinya, setelah empat tahun memerintah, Azizan langsung tidak pernah mengambil masa untuk membuat perjumpaan dengan para pelabur asing di negeri tersebut.  Jika di bawah BN, Menteri Besar Kedah mengunjungi pelabur beberapa kali setahun bagi mendengar sendiri masalah mereka, tetapi kini pelabur hanya berpeluang bertemu dengan wakil MB sahaja, atas alasan MB sekarang bukan lagi Pengerusi kepada Kulim Technology Park Corporation, syarikat pemaju projek tersebut. 
Nampaknya, Azizan tidak tahu skop dan kapasitinya sebagai seorang MB, jauh sekali memahami nilai signifikan satu-satu pelaburan langsung asing kepada sebuah negeri.  

Ramai yang berkata bahawa Azizan enggan berjumpa pelabur asing kerana takut kelemahan beliau mengenai ekonomi dan pentadbiran negeri terserlah.   Begitu juga kesnya dengan Tokong Lim, di mana Azizan bimbang beliau tidak mampu menangani proses tawar-menawar yang bakal berlangsung dan Tokong akan melihat sendiri bahawa Azizan tidaklah sehebat mana.  

Sebenarnya, masalah ‘inferiority complex’ wujud dengan segar di dalam PAS. Masalah itulah yang menjadi akar kepada sifat mengalah PAS tatkala bersemuka dengan DAP.  PAS tidak mampu berhujah dengan baik, dan dengan yakin, kerana tidak punya pergaulan, pengetahuan dan pengalaman yang luas, selain sifat rendah diri semulajadi yang ada di dalam diri orang Melayu.  

Kerana itu, PAS hanya berani dengan UMNO, iaitu yang satu bangsa dengannya.   PAS berdengki dengan UMNO kerana walaupun sebangsa tetapi UMNO tampak lebih yakin dan bergaya serta tidak kekok untuk bersaing.   Bukan seperti PAS yang hanya mampu bermegah soal agama, itupun separuh masak saja. 

Justeru, secara tidak langsung rakyat di bawah kerajaan pimpinan PAS juga terpaksa menurut jejak MB mereka melutut kepada Tokong.  Jika di Kelantan mereka melutut pada Tokong Ngeh dan Nga, di Kedah terpaksa  berhadapan dengan Tokong segala Tokong iaitu Lim Guan Eng.   Bak kata seorang bekas pemimpin DAP, seseorang tidak tentu lagi akan selamat dengan  menyembah begitu banyak tokong tetapi tidak menyembah Tokong yang satu ini. 

Jika beginilah keadannya, nampaknya jika PR menjadi kerajaan, kita tidak mungkin akan berpeluang menyaksikan pemerintahan Ulama, tetapi pemerintahan Tokong!

Friday, 11 January 2013